Zakaria Sambung Tugas Sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif FGV

Posted on

KUALA LUMPUR – Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) Datuk Zakaria Arshad, akan menyambung kembali tugasnya selepas diminta bercuti sejak 6 Jun tahun ini.

FGV dalam satu kenyataan hari ini berkata, selepas mengambil kira program transformasi semasa syarikat dan komitmen serta jaminan Zakaria bagi menyelesaikan isu hutang tertunggak Safitex Trading LLC, Menteri Kewangan (Diperbadankan), sebagai pemegang saham khas FGV, meminta Zakaria kembali bertugas.

Pengerusinya Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, yang menyambut baik keputusan itu berkata, keutamaan segeranya adalah untuk meningkatkan prestasi operasi dan kewangan perniagaan teras FGV dan menjamin pertumbuhan mampan pada masa hadapan.

“Sebagai salah satu syarikat perladangan sawit terbesar, FGV mesti mempunyai aspirasi untuk menjadi peneraju industri dari segi produktiviti dan pulangan kewangan, jadi apa juga faktor yang menghalang kami daripada mencapai matlamat ini perlu ditangani segera,” katanya dalam kenyataan itu.

Azhar berkata ada keperluan supaya struktur pengurusan baharu mampu mengukuhkan organisasi itu pada masa hadapan dan memberikan fokus yang lebih baik ke arah mencapai pelan strategik FGV.

Menurutnya, komposisi Lembaga Pengarah juga akan dipertingkatkan dengan pelantikan pakar berkaitan dan syarikat itu akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Sementara itu, mengenai kemajuan siasatan dalaman terhadap Zakaria berkaitan hutang Safitex Trading, FGV berkata, ia sudah dilakukan dengan proses peringkat dalaman sewajarnya konsisten dengan permintaan Menteri Kewangan (Diperbadankan) supaya proses siasatan dilaksanakan secara integriti, saksama dan menjamin tadbir urus korporat yang baik.

Syarikat itu berkata, dapatan daripada siasatan tersebut dihantar kepada Kementerian Kewangan (Diperbadankan) sejajar dengan Artikel 80 memorandum dan artikel pertubuhan FGV dan kementerian itu mengambil masa untuk menyemak semula sebelum membuat keputusan. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *