Wanita MCA Tawar Pakej Kursus Diploma Kepada Guru Prasekolah

Posted on

KUALA LUMPUR – Wanita MCA hari ini menawarkan 100 tempat kepada guru prasekolah dan mereka yang berminat untuk mengikuti pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak pada kadar diskaun di Institut Pengurusan dan Teknologi Antarabangsa (IIMAT).

Ketuanya Datuk heng Seai Kie berkata pakej itu ditawarkan secara separuh masa selama dua tahun setengah dan mereka hanya perlu membayar RM8,800 berbanding kos sebenar pengajian kira-kira RM18,000.

“Inisiatif ini bertujuan membantu guru tadika dan taska yang mempunyai masalah kewangan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan juga bagi menyediakan guru prasekolah yang lebih berkualiti,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif yang diambil secara kerjasama dengan IIMAT itu adalah susulan aduan Persatuan Guru Tadika Malaysia yang mendakwa terbeban dengan dasar Kementerian Pendidikan yang mewajibkan guru di semua pusat asuhan kanak-kanak memiliki sekurang-kurangnya diploma mulai 2020.

Heng berkata tawaran itu terbuka kepada semua kaum berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ dan hanya ditawarkan menerusi Wanita MCA.

Menurutnya kursus di IIMAT itu diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, Agensi Kelayakan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam yang membolehkan guru tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah atau memohon bekerja di tadika atau taska seliaan kerajaan.

“Guru yang berminat menyertai kursus ini perlu menepati kriteria seperti memiliki minimum tiga kredit bagi Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM) namun jika mereka tidak menepati syarat minimum itu, mereka juga boleh memohon sekiranya mempunyai pengalaman sebagai guru prasekolah selama lima tahun.

“Pemohon juga boleh memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan sekiranya tidak layak, mereka boleh kemukakan permohonan pinjaman kepada Wanita MCA untuk kami bantu,” katanya.

Katanya berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan,  93 peratus atau 27,000 guru prasekolah di negara ini tidak mempunyai kelayakan diploma dan hanya mempunyai kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM.

“Sekiranya guru-guru ini tidak dibantu, kami khuatir mereka akan mengambil langkah dengan berhenti kerja dan ini satu kerugian kerana kebanyakan guru-guru ini adalah golongan berpengalaman dan mempunyai kemahiran mengajar kanak-kanak yang baik,” katanya.

Bagi sesiapa yang ingin menyertai kursus berkenaan boleh menghubungi pejabat Wanita MCA menerusi talian 03-220 33 882. – BERNAMA

src=

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *