Umno Jangan Sakiti Hati Pengundi – MB Negeri Sembilan

Posted on

KLUANG – Umno perlu menyantuni pengundi Melayu bagi mendapatkan sokongan besar masyarakat itu supaya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Umno kini tidak boleh berpegang kepada falsafah bahawa masyarakat Melayu memerlukan parti keramat itu sebaliknya Umno memerlukan masyarakat Melayu demi kelangsungan parti.

“Orang Melayu kini sudah ada banyak parti pilihan seperti PAS, PKR, dan PPBM. Kita (Umno) tidak boleh leka dengan keadaan parti seperti dahulu yang mengatakan Melayu perlukan kita,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sembrong di sini semalam.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan sehubungan itu menggesa seluruh jentera Umno supaya menggiatkan usaha menarik sokongan pengundi khususnya Melayu.

“Orang Melayu ini tidak susah…kita jangan sakiti hati mereka. Sebab itu jentera Umno perlu bergerak kuat kerana sehandal mana pun ketua kita, namun tanpa jentera, ketua kita tidak akan kuat,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga menteri pertahanan dalam ucapannya berkata Umno akan menentang budaya fitnah yang dimainkan pembangkang sehabis-habisan supaya rakyat terus tidak terpedaya.

“Kita lihat pembangkang dan mereka yang ghairah hendak rampas kuasa seolah-olah seperti kecanduan fitnah. Kalau sehari tidak dapat lakukan fitnah…menggelupur. Percayalah, semakin menjelang PRU, semakin fitnah menular.

“Kita dalam Umno tidak diajar sedemikian rupa. Kita akan tentang budaya fitnah dengan ikhlas dan jujur, tidak terikut rentak dia (pembangkang). Kita jawab bersandarkan kejayaan kita selama ini dan tidak mengikut emosi,” katanya.

Beliau turut meminta seluruh anggota Umno supaya berpegang pada prinsip dan tidak menjadi anggota Umno bagi mengejar populariti semata-mata.  – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *