Tragedi 27 Syawal

Posted on

DUA maut dan empat cedera selepas kereta dinaiki kesemua mangsa perempuan itu bertembung dengan van di Jalan Lambor Kanan, dekat SK Raja Chulan, Kampung Gajah, hari ini.

Kemalangan itu membabitkan Nissan Urvan milik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah dan Proton Gen2, pada 1.15 petang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Salleh Mamat, berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian pada 1.21 petang.

“Berdasarkan maklumat awal, difahamkan van berkenaan dipandu dari arah Kampung Gajah ke Bota, manakala kereta pula dari arah bertentangan sebelum bertembung.

“Sebaik tiba bomba dapati semua mangsa sudah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam.

“Pemeriksaan mendapati dua wanita maut manakala empat lagi cedera yang ketika itu semua masih berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, bomba kemudian membantu mengangkat empat mangsa cedera ke dalam ambulans untuk di hantar ke Hospital Changkat Melintang, Kampung Gajah.

“Perempuan yang maut dipercayai berusia 30-an dan belasan tahun dan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi dijalankan lapan anggota dari Balai Bomba Parit itu berakhir pada 2.05 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih menunggu laporan daripada pegawai penyiasat.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *