Tragedi 27 Ramadan

Posted on

PEKERJA maut manakala dua rakannya cedera dalam kemalangan lori PROPEL dan bas ekspres di Kilometer 65.5 lebih raya PLUS, arah utara, dekat Pendang, awal pagi ini.

Difahamkan kejadian berlaku apabila bas ekspres yang sedang menuju ke Alor Setar merempuh belakang lori PROPEL itu hingga terbabas, melanggar pembahagi jalan dan terbalik dalam kejadian 6.15 pagi.

Kemalangan itu meragut nyawa penumpang belakang lori PROPEL, Ruslan Saidin, 53, manakala pemandu, Syuhaimi Osman, 42, cedera di kaki dan kepala sementera penumpang hadapan, Mohd Rozi Ishak, 53, cedera di kepala.

Bagaimanapun, pemandu bersama 28 penumpang bas ekspres berkenaan dilaporkan selamat.

Komander Operasi dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Pegawai Bomba Kanan I, Muhamad Aslan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan pada 6.24 pagi.

Katanya, seorang pegawai bersama tujuh anggota yang berada di Fire Post Gurun telah bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba pihaknya mendapati kemalangan membabitkan lori PROPEL dan bas ekspres.

“Tindakan mengeluarkan mangsa dari lori dilakukan dan rawatan awal di tempat kejadian turut diberikan kepada dua mangsa cedera.

“Mereka yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan ambulans bomba dan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *