Terbaiklah Yuna…

Posted on

PENYANYI tempatan yang mencipta nama di peringkat antarabangsa, Yuna terus melakar sejarah manis apabila tercalon untuk anugerah BET di Amerika Syarikat (AS).

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai tercalon untuk lagu Crush yang turut menampilkan pasangan duet Usher dalam kategori Anugerah Centric 2017 yang sebelum ini diberikan kepada artis genre neo soul atau R&B.

Turut tercalon bagi kategori itu adalah Fantasia (Sleeping with the One I Love), Kehlani (Distraction), Mary J Blige (Thick of It), Solange (Cranes in the Sky) dan Syd (All About Me).

Yuna ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp berkata, dia bersyukur apabila lagu Crush tercalon dalam anugerah berprtestij itu.

“Alhamdulillah, tak sangka lagu nyanyian saya bersama Usher berjaya tercalon dalam anugerah berprestij yang banyak mengangkat nama besar dalam genre soul dan R&B. Pencalonan ini adalah satu penghargaan besar buat saya.

Yuna berkata, dia meletakkan harapan tinggi untuk memenangi anugerah itu bersama Usher.

“Crush sangat istimewa buat saya dan Usher. Jika lagu ini menang, pasti kami sangat gembira dan berbesar hati.

“Saya turut berharap Crush akan dicalonkan dalam mana-mana majlis anugerah muzik lain di AS dan United Kingdom.

“Terima kasih diucapkan kepada semua peminat yang sentiasa mendoakan kejayaan saya selama ini dan moga saya terus diberikan peluang untuk berkarya,” katanya.

Anugerah tahunan itu dianjurkan saluran Black Entertainment Television untuk pemuzik Afrika-Amerika serta golongan minoriti lain.

Berita gembira itu turut dikongsi di laman Instagram syarikat pengurusan milik Yuna iaitu Yuna Room Records.

Anugerah terbabit akan berlangsung pada 25 Jun depan di Amerika Syarikat.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *