Tak pasal-pasal adik cedera…

Posted on

KANAK-KANAK perempuan cedera selepas terkena mercun yang dimain rakan abangnya di Terminal Bas Merbau Berdarah, Sungai Panjang, Sabak Bernam, Ahad lalu.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, Nurul Firzana Mohd Abdullah, 5, cedera di paha kiri serta beberapa bahagian badan termasuk di celah ketiak kiri, lengan dan paha kanan akibat terkena serpihan mercun.

Kakak mangsa, Nurul Faizura Mohd Abdullah, 23, berkata, kejadian berlaku selepas adik bongsu daripada sembilan beradik itu bersama abangnya, 17, dan kakaknya, 10, pulang beraya dari rumah nenek di Kampung Merbau Berdarah.

Menurutnya, mereka bertiga menaiki motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit 16 Sungai Panjang.

“Ketika dalam perjalanan pulang, adik lelaki saya ternampak rakannya bermain mercun lalu memberhentikan motosikal.

“Beberapa minit selepas itu, Nurul Firzana tiba-tiba meraung kesakitan dan terus dibawa pulang ke rumah,” katanya.

Nurul Faizura berkata, dia dimaklumkan adiknya itu terkena mercun dan mereka bergegas menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) dekat sini sebelum dipindahkan ke Hospital Teluk Intan untuk menjalani pembedahan.

Menurutnya, keadaan adiknya kini stabil dan laporan polis dibuat pada hari kejadian di Balai Polis Sabak Bernam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, lelaki berusia 19 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan kejadian itu.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *