Syukur atas nikmat dan kurniaan ini [METROTV]

Posted on

SELEPAS kali terakhir hampir setahun yang lalu, kota suci Makkah termasuk kawasan sekitar Masjidilharam dan maktab penginapan jemaah haji Malaysia di Abraj Al-Janadriyah sekali lagi dilanda hujan lebat, petang semalam.

Hujan lebat selama kira-kira setengah jam sejurus selepas solat Asar itu benar-benar menceriakan penduduk setempat, jemaah serta petugas haji.

Justeru, tiada kata-kata lebih tepat untuk diucapkan melainkan menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat dan kurniaan itu yang diangap rezeki buat mereka.

Betapa tidak, dengan keadaan cuaca yang panas di sekitar kota suci ini dengan purata suhu siang hari sekitar 43 darjah selsius, tidak sukar digambarkan kegembiraan mereka menyambut hujan rahmat itu.

Maka, bukan sesuatu yang pelik apabila terdapat jemaah Malaysia yang begitu teruja hingga sanggup merakamkan foto kenangan dalam keadaan basah kuyup.

Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Alhamdulillah ia satu hujan rahmat.

“Walaupun cuaca agak panas, namun setahun sekali, ada hujan yang dapat juga menyejukkan dan membersihkan kawasan di sekitar Arafah dan Mina yang hanya digunakan setahun sekali saja pada musim haji,” katanya.

Seorang jemaah dari Melaka, Jaafar Salleh berkata, dia begitu bersyukur apabila melihat sendiri keadaan hujan lebat di Makkah ini.

“Syukur Alhamdulillah kepada Allah atas nikmat dan rezeki yang dikurniakan ini. Saya baru selesai menunaikan solat Asar apabila hujan lebat ini,” katanya.

Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Majid, 25, berkata, pada Ramadan lalu, memang ada hujan tetapi tidak selebat petang tadi.

“Inilah rahmat Allah menjelang Hari Wukuf tidak lama lagi,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *