Syabas Malaysia!

Posted on

UPACARA penutupan Sukan SEA Kuala Lumpur Ke-29 (KL2017) dengan tema ‘Bangkit Bersama’ berlangsung penuh warna warni dan gemilang serentak dengan sambutan Ambang Kemerdekaan Malaysia yang ke-60.

Kemeriahan itu seiring dengan kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA kali ini apabila meraih 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa untuk jumlah keseluruhan 323 pingat.

Berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku serta pengumuman kontinjen dari 11 negara yang mengambil bahagian serta sukarelawan yang terbabit dengan KL2017.

Majlis berlangsung menerusi beberapa segmen, antaranya segmen bertemakan Terima Kasih Daun Keladi yang menampilkan persembahan nyanyian serta tarian.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemudian mengisytiharkan KL2017 ditutup dengan rasmi serta mengumumkan Filipina akan menganjurkan temasya dwi tahunan itu dua tahun lagi.

Tumpuan kemudian terarah kepada obor temasya yang dipadamkan selepas 12 hari dinyalakan pada majlis perasmian 19 Ogos lalu.

Majlis penutup diteruskan dengan menurunkan bendera rasmi Sukan SEA yang kemudian diserahkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) Tunku Imran Tuanku Jaafar.

Tunku Imran kemudian menyerahkannya kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina, Jose Cojuango yang menyerahkan pula kepada Setiausaha Hal Ehwal Luar Negara dan juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-30, Alan Peter Cayetano.

Sebaik persembahan Filipina sebagai bakal tuan rumah seterusnya, majlis diteruskan dengan segmen muzik runut Negaraku menampilkan beberapa lagu berunsur patriotik dari lewat era 1950an sehingga sekarang.

Selain itu berlangsung juga segmen konsert Saya Anak Malaysia bersempena sambutan kemerdekaan yang ke-60.

Ini adalah kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar Asia Tenggara selepas pada 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.

Kontinjen negara berjumlah 844 atlet yang menyertai 398 acara membabitkan 38 jenis sukan yang dipertandingkan pada edisi kali ini berjaya mengatasi sasaran 111 pingat emas – pencapaian terbaik kerana selain mengatasi jumlah sasaran, 18 rekod baru Sukan SEA juga diperbaharui oleh atlet negara.

Thailand yang muncul juara dua tahun lalu di Singapura, menduduki tempat kedua dengan meraih 72 emas, 86 perak dan 88 gangsa.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *