Suarakan pendapat tidak salah, tapi bukan kurang ajar

Posted on

PENGACARA Datuk Aznil Hj Nawawi akui bimbang dengan perkembangan komunikasi generasi baharu yang dilihat semakin tidak beradab, lebih-lebih lagi di media sosial.

Aznil berkata menyuarakan pendapat adalah satu perkara baik tetapi perlu dengan cara komunikasi yang betul.

“Saya lihat sekarang ramai anak kita yang bukan sahaja sanggup memaki hamun pemimpin, malah tanpa rasa bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ahli agama.

“Kes terbaharu, seorang anak bukan sahaja mengeluarkan kata kesat kepada ibunya tetapi sanggup pula memukul ibu sendiri.

“Mereka semua ini begitu lantang di laman sosial tetapi bila berhadapan takut pula untuk menyuarakan pendapat.

“Suarakan pendapat itu tidak salah tapi bukan dengan cara yang kurang ajar,” katanya kepada Astro Gempak.

Sehubungan dengan perkara itu, pengacara AF Megastar berkenaan merancang untuk mengelilingi sekolah seluruh Malaysia bagi memperkasakan kemahiran berkomunikasi.

“Bermula dari pelajar sekolah rendah, saya mahu mendedahkan kepada mereka mengenai kepentingan komunikasi dan interaksi dalam melontarkan pertanyaan, jawapan dan juga pendapat.

“Saya sedar generasi kini meskipun lepasan universiti, mereka masih mempunyai kemahiran berkomunikasi yang lemah dan ia antarasa salah satu sebab mereka gagal mendapat tempat di dalam mana-mana sektor perkerjaan.

“Saya harap kempen ini dapat membantu untuk mengasah kebolehan berkomunikasi dan melontarkan pendapat, menyuarakan pandangan mereka dengan cara yang betul.

“Sebenarnya saya sudah mempunyai idea ini sejak sekian lama dan sedang bekerja rapat dengan agensi kerajaan bagi merialisasikan impian saya ini,” katanya lagi.

Aznil berharap kempen yang turut melibatkan personaliti TV serta pengacara lain itu dapat direlisasikan secepat mungkin.

Teks oleh: Syafiqah Jalal

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *