SPRM bongkar sindiket rasuah perbaharui permit pekerja asing

Posted on

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 12 orang awam termasuk dua wanita yang berperanan sebagai orang tengah atau ejen bagi pekerja asing dalam urusan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Pembongkaran sindiket itu merupakan satu usahasama SPRM dengan MyEG Services Berhad (MyEG) selepas mendapati wujudnya kegiatan rasuah dalam proses memperbaharui PLKS secara atas talian menerusi portal syarikat tersebut.

Difahamkan, selepas permohonan dibuat secara atas talian, hanya majikan kepada pemohon tersebut sahaja yang dibenarkan untuk mengambil permit tersebut.

Bagaimanapun, ejen-ejen ini dikatakan akan menghulurkan sejumlah wang kepada pegawai-pegawai yang bertanggungjawab untuk menyerahkan permit tersebut tanpa perlunya kehadiran majikan.

Menurut sumber ejen-ejen ini dipercayai menawarkan wang rasuah berjumlah antara RM50 hingga RM700 bagi setiap permohonan agar proses penerimaan PLKS bagi pihak pekerja asing tersebut boleh dilakukan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Tangkapan ke atas semua suspek tersebut dibuat dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM kira-kira pukul 11 pagi di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Johor hari ini.

Seramai enam individu ditahan di Selangor, dua di Pulau Pinang, tiga di Johor dan seorang di Perak.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 33 hingga 50 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.

Pengarah Siasatan SPRM, Dato’ Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kesemua mereka akan direman untuk membantu siasatan SPRM.

“SPRM memandang serius perbuatan suspek-suspek ini kerana perkara sedemikian boleh mengundang kejadian yang tidak diingini sehingga mengugat keselamatan negara,” ujar beliau ketika dihubungi.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *