Siasatan Kes Penipuan Umrah YBNT Sudah Selesai

Posted on

KUALA TERENGGANU – Siasatan dakwaan penipuan tawaran pakej umrah kepada guru oleh Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) pada tahun lalu telah selesai dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara Negeri Terengganu untuk tindakan, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail.

“Difahamkan kertas siasatan ini akan dimajukan kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya untuk dapatkan nasihat dan juga kelulusan untuk pertuduhan,” katanya.

Tiga suspek utama ditahan berhubung kes itu, katanya pada sidang media selepas upacara serah tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Pakej umrah itu menawarkan harga murah dengan purata RM 3,000 setiap seorang yang menyebabkan hampir 4,000 mangsa, majoritinya adalah guru dipercayai tertipu melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM 4.2 juta. Sebanyak 378 individu membuat laporan polis dan sembilan kertas siasatan telah dibuka.

YBNT mengesahkan kenyataan berkaitan kegagalannya menguruskan kira-kira 2,000 jemaah menyertai pakej umrah disediakannya, namun menafikan pihaknya menipu 2,418 peserta yang sebahagian membabitkan ramai guru untuk mengikuti Program Umrah anjuran yayasan itu. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *