Shuib Bergerak Solo Dalam Rancangan Konti Karat

Posted on

MENJADI kebiasaan kalau di situ ada Shuib pasti ada juga anggota Sepahtu yang lain. Tetapi, berbeza pada kali ini apabila Shuib bakal bergerak secara solo dalam satu program santai yang ditayangkan di Astro.

Tapi, mereka masih satu kumpulan ya. Takut ada yang kata berpecah pula. Shuib kini bergerak solo mengendalikan program Konti Karat yang sudah mula bersiaran pada 22 Ogos lalu.

Walaupun Shuib akan mengendalikan program ini sendirian, mereka bertiga masih bersama dalam mengendalikan segmen Sepahtu Sinar di Sinar FM. Malah, Jep dan Rahim sangat menyokong pelakon Abang Long Fadil 2 ini dalam mengembangkan kariernya di lapangan pengacaraan.

Suami kepada penyanyi Siti Sarah ini juga mengakui dia agak kurang berkeyakinan pada mulanya kerana ini merupakan kali pertama membuat show tanpa Jep dan Rahim. Namun, Shuib berharap percubaan pertamanya mengendalikan program adaptasi salah satu segmen di Sinar FM ini diterima peminat.

“Saya berharap kekurangan sebagai pengacara akan terus dapat diperbaiki, terutama bersama dorongan daripada rakan dan keluarga. Sebelum ini saya selesa bergerak secara berkumpulan, dengan memainkan peranan sebagai ‘feeder’. Jadi, inilah cabaran yang perlu saya hadapi.

“Program ini diadaptasi daripada segmen pagi radio stesen Sinar FM, namun saya diberikan kepercayaan untuk mengacarakan Konti Karat seorang diri. Oleh itu, saya tidak mahu mensia-siakan amanah yang diberikan oleh pihak produksi.

“Alhamdulillah, anggota Sepahtu yang lain begitu memahami dan sangat fleksibel. Kami bebas untuk menerima tawaran secara solo kerana ia dianggap sebagai rezeki masing-masing,” katanya dipetik laporan BH Online.

Konti Karat turut menampilkan beberapa selebriti terkenal sebagai artis jemputan setiap minggu seperti Siti Sarah, Siti Nordiana, Hazama, Mawi, Zarul, Ayai Ilusi dan ramai lagi.

Program ini akan menemui penonton pada setiap hari Jumaat, jam 9 malam di saluran Astro Prima saluran 105 dan Maya HD saluran 135. – MYNEWSHUB.CC / Aisyah Karim

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *