Sembilan lelaki bergaduh dan pukul 4 anggota polis depan balai ditahan

Posted on

Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul empat anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan lelaki dalam kejadian di hadapan Balai Polis Lebuh Pantai, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, sekumpulan 30 lelaki daripada dua kumpulan bergaduh di kawasan itu sebelum empat anggota polis yang sedang bertugas di balai berkenaan keluar untuk meleraikan pergaduhan tersebut.

Jurucakap polis berkata polis mengarahkan mereka berhenti bergaduh dan beredar daripada kawasan itu, namun kumpulan berkenaan tidak mengendahkannya dan terus bergaduh sesama mereka.

“Anggota yang cedera itu merupakan polis yang pertama keluar melihat kejadian itu dan dia cuba meleraikannya kerana bimbang menjadi lebih teruk. Mereka juga bertindak ganas dengan memukul mangsa dan tiga lagi anggota polis yang keluar membantu,” katanya di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, katanya pergaduhan itu berjaya dileraikan selepas beberapa lagi anggota polis tiba dan sembilan daripada mereka berjaya ditahan.

Jurucakap itu berkata hasil siasatan mendapati pergaduhan itu berlaku kerana satu kumpulan tidak berpuas hati apabila satu lagi kumpulan mahu membuat laporan polis selepas mereka bergaduh di hadapan sebuah kedai serbaneka di Persiaran Bayan Indah, Bayan Baru dekat sini dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Beliau berkata sembilan lelaki itu kini direman empat hari dan kes itu disiasat menurut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A. Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan katanya usaha mengesan beberapa lagi lelaki yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan.

— BERNAMA

Sumber: Astro Awani

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *