Selamba Guna Produk Bahasa Asing, Tak Takut Ke?

Posted on
Selamba Guna Produk Bahasa Asing, Tak Takut Ke?

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris menunjukkan beberapa produk dari luar negara yang didakwa tidak menggunakan label dalam Bahasa Malaysia. (Gambar: CAP)

Undang-undang Malaysia menetapkan label makanan hendaklah mematuhi semua peruntukan pelabelan makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Pelabelan makanan bertujuan untuk membekalkan maklumat yang betul dan jelas tentang sesuatu produk makanan.  

Menurut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 semua maklumat yang perlu ada pada label hendaklah dinyatakan dalam Bahasa Malaysia (BM) atau Bahasa Inggeris berdasarkan kepada keperluan berikut:

  • Bagi produk makanan yang dikeluarkan, disediakan atau dibungkus di Malaysia, hendaklah di dalam BM dan boleh termasuk terjemahannya dalam mana-mana bahasa lain.
  • Bagi  produk  makanan  yang  diimport,  hendaklah  di  dalam  BM  atau  Bahasa  Inggeris  dan  boleh  termasuk  terjemahannya dalam mana-mana bahasa lain.
  • Bagi makanan bertujuan khas sama ada yang diimport atau dikeluarkan, disediakan atau dibungkus di Malaysia hendaklah di dalam BM dan boleh termasuk terjemahannya dalam mana-mana bahasa lain.

Terjemahan  ke dalam mana-mana bahasa lain bagaimanpun mestilah memberi maksud yang sama dengan maklumat yang asal. 

PRODUK GUNA BAHASA ASING MASIH DIJUAL

Tinjauan yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini bagaimanapun mendapati terdapat produk makanan asing dari China, Thailand, Bangladesh, Vietnam dan Korea tidak mematuhi Peraturan Makanan 1985 dan Akta Perihal Dagangan 1972. 

Label pada produk itu didakwa tidak mempunyai nama dan alamat pengimport, pengedar dan ramuan yang terkandung di dalam produk. Tambahan pula, bahasa yang digunakan pada label juga menggunakan bahasa negara berkenaan dan sepatutnya dalam BM sepertimana yang diperlukan di bawah akta itu.

“Sepatutnya produk ini tidak seharusnya dibenarkan memasuki negara ini jika kita benar-benar serius dan prihatin mengenai kesihatan dan agama rakyat kita,” kata Presidennya, SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan baru-baru ini. 

SELAMAT ATAU TIDAK

Mungkin ada pihak yang mengandaikan produk yang dijual adalah selamat untuk di makan tetapi terdapat perkara yang mungkin mereka terlepas pandang. Isu yang timbul adakah produk itu dapat dipastikan ia halal atau ramuannya tidak akan menyebabkan kesan sampingan atau dalam kes yang lebih serius boleh menyebabkan kematian.

Sebagai contoh, seseorang mungkin jatuh sakit dan mati akibat kejutan anaphylactic jika mereka memakan produk makanan yang mengandungi ramuan yang merupakan alahan mereka. 

Ia kerana label yang ada tidak memberi sebarang makna jika ramuan itu ditulis di dalam bahasa asing kerana tidak difahami rakyat Malaysia. 

“Disebabkan oleh perkara ini mereka mungkin akan di masukkan ke hospital atau mati,” katanya. 

KEPENTINGAN LABEL 

Label merupakan sumber maklumat penting yang membantu orang ramai untuk membuat pilihan pemakanan yang selamat dan bijak. Ia kerana pengguna boleh juga terdedah kepada bahan penambah makanan yang tidak diketahui seperti bahan kimia. 

Tanggungjawab untuk memastikan produk makanan import mematuhi undang-undang adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)

Isu makanan halal atau haram pula adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan industri makanan termasuk pengimport perlu mematuhi pelbagai akta, peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan mengenainya. 

CADANGAN CAP 

Bagi memudahkan kawalan yang lebih baik terhadap pengimportan produk makanan, CAP mencadangkan produk makanan perlu dihantar ke pelabuhan yang khusus sebelum ia diedar kepada pengimport. 

Ia bertujuan membolehkan pemantauan yang lebih berkesan produk makanan yang memasuki negara ini untuk memastikan ia mematuhi keperluan perundangan Malaysia. CAP turut mencadangkan jangka hayat produk makanan yang mudah rosak perlu dicetak dengan jelas. 

Pihak berkuasa juga perlu memastikan makanan yang telah tamat tempoh tidak dibungkus semula dan dicetak dengan tarikh jangka hayat baharu pada bungkusan baharu. Penentuan tempoh luput amat kritikal kerana tanggungjawab itu adalah terletak kepada pihak pengeluar untuk melakukannya.

“CAP menggesa pihak berkuasa memastikan produk makanan yang mempunyai label dalam bahasa asing ditarik keluar dari rak dan untuk memastikan peruncit tidak menjual produk seperti itu di kedai mereka,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *