Sebat di khalayak ramai

Posted on

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Kali Kedua Penggal Kelima meluluskan 33 pindaan dalam Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017), hari ini termasuk pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai kepada pesalah syariah.

Perkara itu dicadangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Mumtaz Md Nawi.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub mengumumkan kelulusan selepas disokong sebulat suara oleh ahli yang hadir.

Mohd Nassuruddin berkata, tiga faktor utama mendorong kepada pindaan termasuk ia sudah berusia 15 tahun dan perlu seiring perkembangan moden selain tangani isu perundangan.

Katanya, pindaan juga perlu untuk membantu hakim syariah, pendakwa syarie, peguam syariah dan penguat kuasa agama dalam menjalankan prosedur kes jenayah syariah supaya lebih teratur serta seragam.

“Antara pindaan yang membolehkan seseorang dihukum sebat di khalayak, penguat kuasa agama boleh menggunakan gari dan video sebagai bahan bukti dalam perbicaraan,” katanya dalam persidangan DUN di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pindaan Rang Undang-Undang berkenaan bagi persiapan awal untuk pelaksanaan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) sekiranya lulus di parlimen.

Katanya, jika ia (RUU 355) lulus, maka akan mempercepatkan pelaksaannya kerana banyak fasa yang diperkemas.

“Hukuman juga dinaikkan, misalnya denda daripada RM1,000 kepada RM2,000 hingga RM3,000 dan tempoh hukuman penjara sehingga lima tahun.

“Hukuman sebat juga boleh dijalankan di khalayak ramai berbanding sebelum ini dilakukan di penjara, namun ia terserah kepada keputusan mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas persidangan DUN, hari ini.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *