‘Saya menyesal…’ [METROTV]

Posted on

“SAYA akui kesilapan dan kecuaian saya kerana memakaikan anak cincin. Doktor juga ada berpesan jangan pakaikan anak cincin, rantai tangan dan rantai kaki kerana ada kes bayi tertelan loceng rantai tangan,” kata Siti Khatijah Abu Bakar selepas bayinya, Nur Dahlia Aleesa Mohd Shuada, lapan bulan, tertelan cincin petang semalam.

Aleesa sudah dibenar pulang dari Hospital Melaka kira-kira 11 pagi tadi, selepas cincin terbabit keluar menerusi saluran najis.

Difahamkan Aleesa buang air besar kira-kira 8 pagi selepas diberi makan cekodok.

Ibunya, Siti Khatijah Abu Bakar berkata, anaknya dibenar keluar wad selepas doktor berpuas hati keadaan kesihatan Aleesa.

“Doktor tidak menyangka secepat ini cincin keluar melalui pembuangan najis, bagaimanapun Aleesa dijangka berada dalam pemantauan doktor untuk tempoh dua minggu,” katanya yang ditemui di rumahnya di Telok Mas, hari ini.

Menurutnya, dia sedar dengan komen negatif netizen terhadapnya di laman sosial dan bersikap terbuka.

“Apapun reaksi di Facebook saya terima dengan terbuka. Niat saya memakaikan anak cincin bukan untuk menunjuk-nunjuk, sekadar berhias sebelum ke rumah terbuka semalam, cincin itu pun dibeli pada harga RM30.

“Saya menyesal kecuaian saya dan tidak akan ulanginya,” katanya.

Kisah Aleesa tertelan cincin tersebar di laman sosial, selepas Siti Khatijah memuat naik kejadian dan gambar sinar X yang menunjukkan cincin dalam perut anaknya itu di Facebook semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang semalam, Aleesa yang berada dalam buaian di rumahnya di Telok Mas, kedengaran tersedak sesuatu ketika kakaknya, Nur Dhaniyah Qistina, tiga tahun, menghayun buaian.

Siti Khatijah kemudian membawa Aleesa ke Hospital Melaka kira-kira 5 petang dan ujian imbasan sinar X mengesahkan bayi itu tertelan cincin.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *