Sasar 480,000 Murid Tahu Bahaya Rokok Menerusi IMFree

Posted on

BALIK PULAU – Kementerian Pendidikan menyasarkan seramai 480,000 daripada 2.6 juta murid di 1,500 sekolah rendah di seluruh negara akan mendapat pendidikan berkaitan bahaya merokok menerusi program IMFree menjelang 2021.

Timbalan Menterinya, Datuk P. Kamalanathan berkata sehingga kini, lebih 300 sekolah atau 19.3 peratus daripada 7,772 sekolah rendah di seluruh negara telah menjalankan program dengan kerjasama Kementerian Kesihatan itu yang melibatkan lebih 40,000 murid.

“Program IMFree ini telah bermula pada tahun 2016 dengan pelaksanaannya meliputi program rintis yang melibatkan 36 buah sekolah di seluruh Malaysia termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan berpuas hati dalam program rintis ini.

“Walaupun ada peratusan pelajar yang terlibat dalam kegiatan merokok, kedua-dua kementerian akan mengawal dengan lebih dekat dan melihat bagaimana kita dapat mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program IMFree peringkat kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Sungai Pinang, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Kamalanathan berkata program IMFree dirangka secara khusus untuk membantu murid sekolah rendah bagi meningkatkan pengetahuan mereka berkaitan dengan amalan merokok termasuk diberi pendedahan tentang bahan yang terkandung di dalam sebatang rokok dengan lebih jelas menerusi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Kementerian Kesihatan akan nasihat dan bimbing kita, mereka akan menentukan bagaimana program ini dijalankan dan sebagainya. Maklumat dalam buku-buku yang dihasilkan agak menarik dan mudah dibaca. Ia bergambar dan akan menjadikan kanak-kanak lebih tertarik. Ini akan membantu guru, ini garis panduannya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha itu tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada pihak kementerian dan sekolah kerana pada akhirnya kerjasama daripada semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat amat diperlukan dalam usaha membendung dan mencegah amalan merokok dalam kalangan murid sekolah rendah.

Ditanya sama ada program itu akan diperluaskan ke peringkat sekolah menengah, Kamalanathan berkata ia akan diadakan pada masa akan datang, namun buat masa ini pihaknya memfokuskan program berkenaan di peringkat sekolah rendah terlebih dahulu.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata berdasarkan tinjauan terhadap gejala merokok dalam kalangan pelajar yang berumur antara 13 dan 15 tahun yang dijalankan pada tahun lepas menunjukkan trend menurun iaitu 14.8 peratus berbanding 18.2 peratus pada 2009 dan 20.2 peratus pada 2003.

“Wujudkan budaya anti merokok dari bangku sekolah lagi. Program IMFree adalah lanjutan daripada program Doktor Muda. Menerusi program Doktor Muda kita ajar murid budaya hidup sihat manakala program IMFree ini kita beri input kepada guru untuk ajar murid jangan merokok kerana terdedah dengan pelbagai penyakit,” katanya. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *