Saksi Kes Pemandu Bunyikan Hon Ketika Solat Jumaat Tampil, Polis Minta Orang Ramai Henti Perbesarkan Isu Ini

Posted on

JOHOR BAHRU – Susulan kes kejadian seorang pemandu kereta Toyota Camry dipukul oleh sekumpulan lelaki kerana tidak berpuas hati apabila lelaki terbabit membunyikan hon ketika mereka sedang menunaikan solat Jumaat, kini dalam siasatan polis, lapor Berita Harian.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihak polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 28 tahun dan dipercayai seorang jurutera yang didapati cedera di kepala dan badan ekoran insiden berkenaan.

Selain itu, laporan juga telah diterima daripada pihak Ahli Jawatankuasa Surau Austin Perdana yang membuat aduan tentang kejadian tersebut dan kedua-dua pihak juga telah bersetuju menyerahkan kes ini kepada polis untuk membuat siasatan, katanya.

Menurut Datuk Kamarul Zaman lagi, beliau mengharapkan masyarakat semua memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan dengan kejadian terbabit dan turut menyeru semua pihak agar tidak mengambil tindakan sendiri serta tidak memperbesarkan isu ini sehingga menjadikan suasana yang tidak harmoni.

Rakaman video ketika kejadian pada jam 1.30 petang itu kini sedang viral di media sosial dan rata-rata netizen mengecam tindakan lelaki berkenaan kerana dikatakan suspek yang menyebabkan terjadinya punca kekecohan itu dan ada segelintir netizen turut berpendapat kedua-dua pihak adalah salah sama sekali kerana perkara seperti ini boleh dibincangkan dengan baik tanpa menggunakan emosi.

Melalui Facebook juga ada beberapa individu telah memuat naik beberapa gambar yang memaparkan komen daripada beberapa individu yang dikatakan sengaja memperbesarkan isu ini dan seolah-olah ingin mencetuskan provokasi.

Dua gambar di bawah yang kini sedang tular kerana tindakan dua individu terbabit seolah sengaja ingin mencetuskan pergaduhan serta melibatkan isu perkauman.

Anda diminta bersabar setelah membaca kedua-dua gambar di bawah. Jangan sekali-kali membuat keputusan sendiri. Kes ini dalam siasatan polis dan isu perkauman adalah sesuatu yang amat sensitif. Sebagai rakyat Malaysia, anda harus menjaga tatasusila dan kesopanan yang melambangkan negara kita yang dicintai.

Manakala di bawah ini satu pengakuan daripada seorang individu yang mengaku beliau adalah seorang jemaah yang berada di tempat kejadian berkenaan.

Saya salah seorang jemaah yang berada di Masjid Austin Perdana, Johor Bharu. Kes berkenaan berpunca apabila kereta Camry putih ini tidak dapat melepasi laluan jalan di depan masjid yang sempit.

Kenderaan orang ramai diletakkan di kiri dan kanan jalan. Kereta suspek tidak boleh melepasi laluan berkenaan dan dalam kereta itu terdapat dua orang lelaki dan dua orang perempuan.

Kereta Camry itu membunyikan hon sepanjang solat Jumaat sedang berlangsung dan ketika itu pada rakaat yang kedua. Hon dibunyikan sehingga solat Jumaat selesai.

Selepas selesai solat ada beberapa jemaah yang menegur suspek dengan cara baik dengan berkata sabar, tunggu, jangan hon dan orang sedang bersolat. Namun, suspek tetap membunyikan hon seolah-olah mencetuskan provokasi dan akhirnya suspek dikatakan cuba untuk melanggar orang yang berada di situ.

Selepas itu salah seorang jemaah block kereta suspek dan menyuruh suspek keluar tetapi suspek masih lagi membunyikan hon dan cuba untuk melarikan diri, namun gagal sehinggalah suspek terlanggar seorang jemaah tetapi jemaah berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Selepas itu, suspek masih mencuba untuk melarikan diri dan tidak ingin berhenti. Kerana disebabkan itulah orang ramai yang berada di lokasi kejadian menjadi marah apabila suspek keluar dari keretanya dan cuba untuk tunjuk kekuatannya sehinggalah tercetus pergaduhan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat keputusan sendiri, lebih-lebih lagi melibatkan isu perkauman. Kes ini pastinya akan disiasat dengan terperinci oleh polis dan yang bersalah akan dijatuhkan hukuman. – Koleksi Viral

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *