Rakyat Malaysia buang 8,000 tan makanan sehari

Posted on

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia dianggarkan membuang sehingga 8,000 tan makanan sehari, iaitu jumlah yang mampu menampung keperluan untuk tujuh juta orang.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Nor Siti Aishah Said berkata keadaan itu menjadikan makanan sebagai komposisi tertinggi iaitu 45 peratus daripada keseluruhan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah di negara ini.

“Pembuangan makanan itu merangkumi sepanjang proses persiapan, pengeluaran dan pemprosesan sesuatu makanan serta sesi makan,” katanya pada Seminar ”Feed People, Not Landfills” di sini hari ini.

Katanya, keadaan ini boleh dielakkan sekiranya rakyat Malaysia lebih perihatin dalam soal pengambilan makanan dengan hanya memakan makanan yang diperlukan sahaja.

Timbalan Pengarah Program Jaringan Antarabangsa, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) Dr Ainu Husna M.S Suhaimi yang turut menjadi tetamu di seminar itu berkata, pembaziran makanan merupakan isu yang kritikal dan perlu ditangani segera.

Ainu Husna berkata berdasarkan fakta dan statistik sedia ada, polisi untuk menanganinya perlu dirangka dan diaplikasikan serta perlu melibatkan penyertaan semua pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan rakyat keseluruhannya.

“Sebagai contoh Perancis, mereka sudah ada undang-undang yang menghalang pembuangan makanan ini dan negara kita pun rasanya perlu mengkaji kaedah sesuai untuk membendung kedaan ini,” katanya.

Sementara itu, Dekan Kluster Penyelidikan Sustainability Science Universiti Malaya Profesor Madya Dr Sumiani Yusoff berkata pembuangan sisa makanan bukan hanya sesuatu yang membazir malah mengancam alam sekitar.

Katanya, sisa makanan di tapak pelupusan sampah akan menghasilkan gas metana yang tinggi selain larut resapan yang sangat kotor sehingga memberi kesan kepada sungai dan sumber air bawah tanah.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *