Raih emas, rekod baru

Posted on

DUA PULUH DUA hari sebelum temasya Sukan SEA Kuala Lumpur membuka tirai secara rasmi, atlet olahraga negara terus mengganas.

Terbaru, kuartet 4×100 meter negara yang beraksi di Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam memecahkan rekod kebangsaan di Ho Chi Minh, 9.30 malam tadi.

Kuartet yang dibarisi oleh Haikal Hanafi selaku pelari pertama diikuti Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan sebagai pelari terakhir mencatatan masa 39.62 saat.

Mereka memadamkan rekod lama 39.67s yang dilakukan Jonathan, Mohd Izzudin Yahaya, Harith Amar dan Nixson Kennedy di Sukan SEA Singapura pada 2015.

Catatan itu juga membolehkan kuartet negara meraih emas menewaskan dua kuartet dari Vietnam masing-masing untuk perak dan gangsa selepas sekadar mencatatkan 40.57s dan 41.19s.

Berdasarkan ranking terkini Asia Tenggara, kuartet negara berkedudukan tempat ketiga ketinggalan di belakang kuartet Indonesia yang mencatatkan catatan masa terbaik 39.10s dan Thailand kedua 39.38s.

Pada temasya dua tahun lalu emas acara berganti-ganti itu dikuasai Thailand dengan catatan 38.99s diikuti Singapura 39.24s manakala gangsa milik Indonesia 39.32s.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *