Ragbi Mahu Cipta Sejarah Raih Emas Sukan SEA

Posted on

KUALA LUMPUR – Skuad ragbi negara membariskan pasukan terbaik pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan satu matlamat untuk mencipta sejarah meraih pingat emas buat pertama kalinya di temasya berkenaan.

Jurulatih skuad ragbi, Moha Saiful Hafifi Md Noor berkata skuad yang dipersiapkan kali ini adalah yang terbaik hasil gabungan enam pemain baharu dan enam pemain yang pernah beraksi pada temasya di Singapura, dua tahun lepas.

“Semua mereka telah berlatih dengan gigih sejak awal tahun di stadium Borneo dan New Zealand. Pada pengamatan saya, prestasi mereka telah mencatatkan peningkatan,” katanya pada sidang media program Kita Juara di sini hari ini.

Untuk rekod, Malaysia meraih dua pingat perak pada edisi 1995 di Chiang Mai masing-masing dalam acara lelaki dan wanita, manakala di Singapura, skuad lelaki negara akur dengan pingat perak selepas tewas kepada Filipina 24-7 pada perlawanan akhir.

Sementara itu, ketua pasukan negara, Zulkiflee Azmi berkata Filipina dan Singapura merupakan pencabar utama skuad negara kerana mereka mempunyai kelebihan pemain bertaraf profesional dan aktif di peringkat antarabangsa.

“Kami akan berusaha dengan sedaya upaya dan menggunakan kelebihan kita sebagai tuan rumah, kami akan buat lebih baik,” katanya.

Acara ragbi dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Ogos di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *