Puas kongsi nikmat

Posted on

Dalam diam-diam pelakon popular, Rozita Che Wan sudah tiga kali menaja 30 penduduk kampung di Alor Setar, Kedah yang kurang berkemampuan menunaikan umrah.

Rozita yang mesra disapa Che Ta berkata, dia sekadar ingin berkongsi rezeki dengan mereka yang belum berkesempatan menunaikan umrah.

“Pada 2014 saya menaja 10 orang menunaikan umrah. Apabila ada rezeki lebih lagi, saya teruskan perkara sama. Saya jadi seronok melihat orang lain gembira dapat buat umrah.

“Insya-Allah, tahun ini saya perlu bertanya dan mencari mereka yang betul-betul layak. Kalau boleh saya mahu mereka dalam kalangan keluarga susah,” katanya.

Menurut Che Ta, selain menaja orang kampung, dia turut menghantar adik-beradik, saudara-mara dan kakitangan syarikatnya menunaikan umrah.

“Sebelum menaja orang kampung, saya jalankan tanggungjawab ini kepada saudara-mara terdekat dahulu.

“Mula-mula saya taja adik-beradik seibu sebapa. Kemudiannya adik-beradik daripada tiga ibu tiri, rakan dan kakitangan syarikat. Saya berasa puas apabila dapat berkongsi rezeki ini bagi sama-sama merasai nikmat mengerjakan umrah buat pertama kali,” katanya.

Che Ta yang juga isteri kepada pelakon Zain Saidin berharap niat murninya itu tidak disalah anggap orang ramai dengan menyifatkan dia ingin menunjuk-nunjuk atau riyak.

Sebaliknya, apa dilakukan Che Ta sekadar perkongsian yang boleh mendidik orang lain melakukan perkara sama sekiranya mereka berkemampuan.

Pada masa sama, Che Ta berhasrat meneruskan perkara ini kerana baginya usaha dan bekerja ke jalan Allah tidak akan pernah putus.

“Saya sentiasa berdoa terus dimurahkan rezeki supaya dapat meneruskan perkara ini. Insya-Allah selepas ini saya nak menghantar anak yatim piatu pula. Doakan semoga perancangan saya dipermudahkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Ta yang baru dilantik menjadi duta pakej umrah syarikat Imtiyaz Travel & Tours bersama suami bakal menunaikan umrah kali ke-11 pada 22 Januari sehingga 2 Februari tahun depan bersama 20 ahli keluarga lain.

Kerap dikelilingi kaki penipu

Che Ta yang sebelum ini mendedahkan ditipu seorang ahli perniagaan bergelar Datuk membabitkan RM50,000 mengakui dirinya mudah terpedaya.

“Kehidupan saya sekarang dikelilingi orang yang suka menipu. Mereka ini terlalu ramai sehingga sukar nak dikenal pasti. Disebabkan duit, mata mereka mudah dikaburi sekelip mata.

“Mungkin disebabkan saya terlalu baik dan cepat percayakan seseorang membuatkan mereka boleh mengambil kesempatan bila-bila masa. Saya pula jenis yang lembut hati. Jadi, apabila sering terkena saya mulai ambil langkah berhati-hati,” katanya. -Sudirman Mohd Tahir

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *