Pos Malaysia Perkenal Koleksi Setem Khas Hari Pos Sedunia

Posted on

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan memperkenalkan koleksi setem khas kepada orang ramai bersempena dengan Hari Pos Sedunia yang bakal diraikan pada 9 Okt ini.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah berkata empat keping setem berlainan reka bentuk telah disediakan dan apabila setiap satu digabungkan akan membentuk satu blok gambaran memaparkan proses penghantaran poskad kepada satu sama lain sama ada secara domestik atau antarabangsa.

Beliau berkata sebanyak 125,000 keping cetakan setem dikeluarkan bagi setiap reka bentuk dengan sepasang setem menampilkan dua jenis reka bentuk bernilai 50 sen denominasi untuk setiap keping.

“Di samping itu, siri ini turut didatangkan dengan empat poskad berlatarbelakangkan ilustrasi kartun pelbagai etnik di Malaysia dilengkapi dengan alat muzik tradisional, ilustrasi glob berserta bangunan ikonik seluruh dunia, wau bulan dan poskad berbentuk peti pos menampilkan ilustrasi jenis peti pos seluruh dunia,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Pos Malaysia di sini.

Diyana berkata sejumlah 6,000 keping poskad telah dicetak bagi setiap reka bentuk dan setiap keping poskad dijual pada harga RM1 sekeping.

Orang ramai boleh mendapatkan set lengkap siri setem pada harga RM34.45 setiap satu di semua cawangan Pos Malaysia di seluruh Malaysia atau buka Akaun Pesanan Tetap (SODA) secara dalam talian melalui laman web www.posonline.com dan jualan koleksi terhad pada hari Pos Sedunia sahaja. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *