Polis Thailand pintas trak bawa 1 juta pil yaba untuk diseludup ke M’sia

Posted on

BANGKOK: Polis Thailand menumpaskan cubaan sindiket untuk menyeludup dadah ke Malaysia apabila ia memintas sebuah trak yang membawa satu juta pil ”yaba” atau dadah jenis methamphetamine, empat hari lepas di daerah Mae Chan, Chiang Rai di utara Thailand.

Menurut Komander Biro Penindasan Narkotik (NSB) Thailand Mejar Jen Tanai Aphichartseni, dua warga Thailand dari Songkla di selatan Thailand ditahan pihak polis dalam serbuan awal pagi selepas polis memintas sebuah trak 10 tayar, yang mengangkut dadah itu.

“Kedua-dua suspek mengaku mereka diarahkan untuk membawa dadah itu ke Hatyai dan kemudian ke Sadao sebelum dadah itu diseludup ke Malaysia. Pihak polis menemukan 10 beg penuh diisi yaba di dalam trak itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu yang dibayar 400,000 Bath (kira-kira RM50,000) sepatutnya mengisi trak itu dengan buah oren apabila mereka berhenti di Chiang Mai ketika dalam perjalanan ke selatan Thailand, dalam usaha mengaburi pihak berkuasa daripada menemukan konsainan sebenar trak itu.

Tanpa pengetahuan kedua-dua lelaki itu, pihak berkuasa telah memantau pergerakan kedua-dua suspek, lima bulan sebelum penahanan mereka empat hari lepas.

Menurut Tanai, kedua-dua suspek juga membuat pengakuan kepada pihak berkuasa, mereka telah beberapa kali berjaya mengangkut dadah ke selatan Thailand dan Malaysia sebelum ini, dan menerima upah 200,000 Bath (kira-kira RM25,000) bagi setiap penghantaran.

“Kali ini mereka menerima 400,000 Baht kerana mengangkut jumlah dadah yang lebih banyak,” katanya dan menambah pihak polis mensyaki dalangnya berada di Hatyai dan akan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Beliau juga berkata dadah yang diangkut oleh kedua-dua suspek dibungkus kemas dan mempunyai label ‘999’ berwarna merah, menunjukkan ia dari utara Wa State, sebuah wilayah autonomi di Myanmar yang terkenal sebagai tempat penghasilan dadah.

Tanai berkata kedua-dua lelaki itu bakal berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika didapati bersalah. — BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *