Polis P. Pinang bongkar 19 makmal dadah

Posted on

KEPALA BATAS: Polis berjaya membongkar 19 makmal dadah dan membuka kertas siasatan sebanyak 2,692 kes membabitkan pengedar dadah di negeri ini pada 2015 dan 2016.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata sepanjang tempoh yang sama, pihaknya merampas 520.3 kilogram (kg) pelbagai jenis bahan terlarang itu dan 581,81,76 biji pil Eramin 5.

“Sepanjang tempoh dua tahun itu, 354.6kg dadah jenis heroin, syabu (94.1kg), pil ecstasy (23.5kg) dan ketamin seberat 48.1kg dirampas. Ini menunjukkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang telah menunjukkan prestasi yang begitu baik.

“Saya berharap JSJN akan terus mengekalkan prestasi itu untuk terus cemerlang dalam usaha membendung kegiatan menghasilkan dan mengedar dadah di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Kontinjen Pulau Pinang, di sini pada Isnin.

Pada majlis itu, Roslee mewakili polis Pulau Pinang menyerahkan 98.3kg dadah jenis ganja, syabu, ketamin dan heroin serta 567,460 pelbagai pil dadah bernilai lebih RM10 juta kepada syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd untuk dilupuskan.

“Selain dadah, terdapat juga bahan-bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah dimusnahkan. Semua dadah dan bahan kimia berkenaan melibatkan 891 kertas siasatan sejak 2000 hingga 2016 serta telah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan,” katanya.

Dalam pada itu, Roslee berkata polis juga mengambil tindakan ke atas ‘street pushers’ (pengedar kecil) yang bertindak sebagai ejen kepada pengedar dadah dan 2,979 orang ditahan dan didakwa sejak Januari tahun ini hingga semalam dalam usaha pihaknya memastikan kegiatan mereka dikurangkan ke tahap minimum.

Beliau berkata pihaknya turut memberi perhatian dalam mengurangkan permintaan terhadap dadah dan sepanjang tempoh yang sama, 4,278 penagih dadah ditahan.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *