PKR ambil sikap terbuka isu tahaluf siyasi dengan Pas – Azmin

Posted on

AMPANG: PKR sentiasa mengambil sikap terbuka untuk mempertahankan kerjasama dengan Pas yang dijangka memberi kata putus isu talaluf siyasi mereka pada Muktamar Pas ke-63 hujung bulan ini.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sehingga hari ini, kerjasama parti itu dengan Pas juga disifatkan masih kuat dan utuh.

Jelasnya, kerjasama itu sewajarnya turut dipertahankan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Sehingga hari ini tahaluf siyasi kerjasama politik Pas dan Keadilan masih kuat dan utuh, dan keadilan sentiasa mengambil sikap terbuka mempertahankan kerjasama ini. Ia sewajarnya dipertahankan dalam pilihan raya akan datang.

“Saya tidak boleh menjangkakan apa akan berlaku dalam Muktamar Pas kerana saya bukan perwakilan dalam muktamar tetapi saya yakin kepimpinan Pas yang sedia ada melihat kerangka besar dalam perjuangan ini.

“Ia kerana kita mahu melakukan satu perubahan demi kepentingan agama dan kepentingan rakyat, bukan soal individu atau kepartian,” katanya semasa sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada wakil komuniti di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

BACA: Muktamar Pas ke-63 tentukan tahaluf siyasi dan kedudukan Pas di Selangor

BACA: PKR tidak akan putus hubungan dengan Pas – Azmin Ali

Sebelum ini, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Dr Nik Muhammad Zawawi berkata, Muktamar Pas ke-63 pada hujung bulan ini, bakal menjadi penentu sama ada parti Islam itu akan menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR atau mengekalkannya berikutan usul yang diluluskan beberapa kawasan Pas di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu agar kerjasama politik dengan PKR ditamatkan.

Jelasnya, isu tahaluf siyasi Pas-PKR akan menjadi topik perbincangan pada muktamar kali ini.

Pada masa ini, Pas Selangor berpendirian untuk mengekalkan status quo dan akan akur terhadap apa jua keputusan pucuk pimpinan parti, jika Pas memutuskan untuk menamatkan kerjasama politik dengan PKR.

Hubungan antara Pas dan PKR tegang selepas parti pemerintah kerajaan negeri Selangor itu bertegas untuk mengekalkan kerjasama dengan DAP dan menjalin hubungan dengan Parti Amanah Negara (Amanah), parti serpihan Pas.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyifatkan kerjasama Pas dengan parti lain ibarat ‘memikul biawak hidup’.

Bagaimanapun Azmin tetap dengan berpendirian untuk tidak memutuskan hubungan dengan Pas malah yakin dengan permuafakatan dalam pakatan pembangkang dan akan sentiasa menghormati sebarang perbezaan pendapat.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *