Pingat perak Sukan SEA, hadiah hari jadi paling istimewa Zaidatul

Posted on

KUALA LUMPUR: Ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli menerima hadiah hari jadi paling istimewa apabila meraih pingat perak acara 100m wanita Sukan SEA di Stadium Nasional di sini, malam tadi.

Atlet kelahiran Alor Setar, Kedah berusia 24 tahun itu yang baru menyambut hari kelahirannya tiga hari lalu, berkata kejayaan itu menjadi kenangan paling indah buat beliau. 

“Walaupun, masa pada hari ini tidak mencapai catatan terbaik saya, (11.45s), saya masih berpuas hati dengan pencapaian ini kerana dapat mencapai sasaran meraih pingat, berbanding Sukan SEA lalu di mana saya tidak dapat meraih pingat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah di sini.

Beliau meraih pingat perak dengan catatan masa 11.74s, manakala pingat emas menjadi milik wakil dari Vietnam, Le Tu Chinh dengan catatan masa 11.56s.

Shanti Pereira dari Singapura yang memperbaharui rekod kebangsaan negara itu dengan catatan 11.73s pada saingan separuh akhir, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila hanya mencatat 11.76s pada final.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *