Piala FA: Penyokong jangan cuba buat provokasi – polis

Posted on

JOHOR BAHRU: Penyokong perlawanan bola sepak Piala FA antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pasukan Pahang yang bakal berlangsung Ahad ini (23 April) diberi amaran supaya tidak bertindak di luar kawalan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata amaran keras itu dikeluarkan berikutan unsur-unsur provokasi yang dilihat sedang tular di laman sosial Facebook Twitter dan WhatsApp yang dipercayai dikeluarkan oleh penyokong kedua-dua pasukan.

“Kami akan kerahkan 1,124 orang anggota untuk mengawal keadaan dan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau penyokong pasukan yang cuba melakukan provokasi atau sebarang perlakuan dan perbuatan yang tidak mematuhi undang-undang.

“Pihak polis juga memberi jaminan untuk mengawal keselamatan seluruh pasukan pelawat dan mereka dinasihatkan untuk melaporkan setiap aktiviti yang mereka jalankan untuk tujuan keselamatan.

“Ini kerana kami tidak mahu insiden membaling cat atau jenayah yang lain berlaku,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

“Jadi kami menyeru orang ramai untuk mematuhi arahan yang diberikan petugas polis dari semasa ke semasa agar keamanan dan ketenteraman awam sentiasa dipelihara.

“Kami tidak mahu ada pihak yang cuba mewujudkan sebarang suasana tidak harmoni semasa perlawanan berlangsung, tunjukkanlah sikap yang baik sebagai penyokong dan patuhi sepenuhnya garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata Sulaiman.

Beliau turut menasihatkan penyokong untuk tidak membawa sebarang bentuk bahan letupan atau senjata berbahaya sama ada di luar atau di dalam kawasan stadium dan melarang sebarang bentuk perarakan atau perhimpunan sebelum atau selepas perlawanan. — BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *