Perlukah ‘coffee-coffee berdua’ untuk dapatkan keserasian? Ini jawapan Nabila Huda, Aaron Aziz dan Ahmad Idham

Posted on

Dalam sesebuah cerita pastinya watak utama memainkan peranan penting. Apatah lagi jika watak utama itu membabitkan dua pelakon berlainan jantina, pastinya keserasian perlu bagi memastikan cerita lebih bersahaja.

Perlukah 'coffee-coffee berdua' untuk dapatkan keserasian? Ini jawapan Nabila Huda, Aaron Aziz dan Ahmad Idham

Perlukah ‘coffee-coffee berdua’ untuk dapatkan keserasian? Ini jawapan Nabila Huda, Aaron Aziz dan Ahmad Idham

Namun begitu, setiap pelakon punya cara dan pandangan sendiri dalam memastikan keserasian bersama pasangan lebih terjalin.

Latihan dan perbincangan amatlah perlu. Bagaimanapun, perlukah pelakon terutama yang sudah mempunyai pasangan atau berumah tangga keluar bersama dari set penggambaran bak kata orang sekarang ‘coffee-coffee’ berdua demi mencari keserasian?

Cuit Sikit minggu ini mendapatkan komen beberapa pelakon, pengarah dan produser untuk berkongsi pandangan mengenai isu mencari keserasian di luar waktu penggambaran?

Nabila Huda

“Sebagai pelakon kita perlu fokus terhadap apa yang ingin dilakonkan. Bagi yang punya kelebihan boleh berlakon apa saja watak mungkin tidak ada masalah tetapi untuk yang tidak, pentingnya mereka mengkaji watak diberikan.

Namun tidak perlulah sampai tahap keluar dating dan minum kopi untuk mendapatkan keserasian. Pada saya itu sangat mengarut! Seharusnya mereka yang ingin membabitkan diri dalam bidang lakonan mengkaji dan berfikir tujuan asal terbabit dalam bidang lakonan. Jika niat mereka untuk jadi pelakon yang serba boleh pasti mereka boleh melakonkan apa juga watak. Tetapi jika niat untuk popular dan meramaikan pengikut di laman sosial maka akan wujudlah pelakon yang tiada kualiti. Pada saya tidak perlu rasanya mencari keserasian sehingga di luar waktu penggambaran kerana ia hanya akan menimbulkan masalah lain saja.”

Aaron Aziz

“Pada saya tidak perlu terutama bagi pelakon yang sudah berkahwin berbuat begitu. Bagi yang masih bujang terpulanglah sama ada mereka hendak mencari keserasian di dalam, luar, atas mahupun bawah.

Utamakan dulu lakonan tegaskan pendirian masuk dalam bidang ini sebenarnya niat untuk apa. Kalau betul-betul hendak berlakon pasti mereka akan lebih fokus terhadap watak yang diberikan. Andai masih ada yang mahu mencari lebih keserasian selepas waktu penggambaran itu terpulanglah bagi yang masih bujang. Kepada yang sudah berkahwin, sebaik-baiknya jagalah batasan dan ingat fokus kerana apa kita berlakon.”

Ahmad Idham

“Tiada istilah perlu keluar berdua sehingga luar waktu penggambaran untuk mendapatkan keserasian kerana bagi saya sikap profesional artis itu lebih penting. Mencari keserasian bukanlah alasan tetapi pentingnya latihan terhadap watak yang hendak dijayakan. Datang awal ke lokasi, sama-sama mengadakan latihan adalah perkara yang perlu diamalkan dan itulah yang saya praktikkan dengan pelakon yang terbabit di bawah produksi saya.

Apabila tiada masa untuk mengadakan latihan dan sering datang lambat ke lokasi penggambaran itulah yang menjadi punca sehingga berdua-duaan di luar waktu penggambaran.”

Zetty Alia Ramli

“Sebagai penerbit bagi saya keserasian itu tidak hanya membabitkan dua pasangan. Walaupun mereka adalah watak utama, keserasian juga membabitkn pihak produksi dan pelakon yang lain.

Tidak hanya berdua tapi kerjasama daripada semua pasukan sangat penting untuk memastikan keserasian itu terus berkekalan.

Saya sendiri belum berdepan dengan masalah pelakon tiada keserasian dengan pasangan sehingga memaksa mereka untuk lebih rapat di luar lokasi. Bagi saya pelakon yang baik dan bagus tidak kisah siapa pun gandingan mereka pasti akan dapat keserasian itu apabila sudah di lokasi.

Apabila berada di set mereka sudah menjadi orang lain dan perlunya kerjasama daripada pelakon lain untuk memastikan keserasian itu berkekalan.”

Sumber: Metro

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *