Penyokong Bola Sepak Malaysia Mengada-Ngada?

Posted on

KUALA LUMPUR – “Baginda adalah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor. Oleh itu, bola sepak bukanlah kerja sepenuh masa baginda. Mengapa ramai yang begitu mengada-ngada sangat?”

Itu kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin membidas orang ramai yang mengkritik Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana baginda menyatakan baginda hanya ‘part time’ di FAM.

Hamidin malah menyifatkan kenyataan Tunku Ismail berhubung jawatan sebagai Presiden FAM hanya kerja ‘part time’ baginda adalah benar kerana tanggungjawab pertama baginda adalah berkhidmat kepada negeri Johor.

“Ramai yang menyuarakan rasa berkecil hati apabila Tunku Mahkota Johor mengatakan baginda hanya ‘part time’ (kerja separuh masa) di FAM sedangkan kenyataan itu adalah betul.

“Ini kerana semua exco adalah ‘part time’. Semua yang ada dalam persatuan bola sepak negeri masing-masing juga ‘part time’. Jadi ianya memang betul.

“Saya lihat apabila penyokong kita mencaci, memaki dan segala perkara seperti ini secara jelas menunjukkan negara kita bukan seperti negara maju. Ia seperti ‘low class minded’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamidin turut menyentuh tentang keperluan penyokong bola sepak tanah air membuat penilaian berpandukan fakta sebelum mengkritik Tunku Ismail kerana pasukan kebangsaan telah lama tidak berada dalam prestasi yang baik dan menjadi tugas pimpinan terkini FAM untuk mencari formula baharu bagi memperbaikinya.

Selain itu, katanya, kedudukan FAM akan bertambah teruk jika Tunku Mahkota Johor meletakkan jawatan kerana FAM sedang berhutang RM49 juta dan tidak ada duit pun untuk tahun hadapan.

Namun, kata beliau, FAM akan ada banyak syarikat yang hendak ‘meletakkan’ duit disebabkan oleh kepimpinan Tunku Mahkota Johor.

“Jikalau baginda angkat kaki, pastinya syarikat-syarikat tersebut yang hendak membuat pelaburan RM60 juta, RM70 juta atau RM80 juta tersebut semuanya akan menarik diri,” katanya.

Tambah beliau, apabila perkara itu berlaku, maka kedudukan-kedudukan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia akan menjadi bertambah teruk.

“Ideologi baginda adalah untuk memberi RM6 juta hingga RM7 juta kepada setiap pasukan yang bertanding. Kemungkinan pada tahun pertama akan diberi RM3 juta dahulu. FAM yang terdahulu memberi paling banyak pun tidak sampai RM400,000, namun Tunku Mahkota Johor hendak memberi RM3 juta untuk tahun pertama dan tahun kedua, seterusnya meningkat sehingga mencecah RM6 juta hingga RM7 juta.

“Tetapi jikalau baginda tiada, penaja akan keluar (menarik diri). Baginda tidak akan susah kerana JDT sentiasa berduit, tetapi bagaimana dengan pasukan-pasukan lain pula? Jadi kalau hendak menilai, buatlah penilaian dari segi realistik. Jangan sedap ikut hati sahaja. Fikir baik-baik,” katanya. -MYNEWSHUB.CC

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *