Penyelidik, Industri Digesa Manfaatkan Khidmat Teknologi

Posted on

KUALA LUMPUR – Penyelidik dan pemain industri digesa memanfaatkan khidmat nasihat dan kepakaran daripada pakar-pakar pemindahan teknologi bagi meningkatkan pencapaian pengkomersilan sesuatu produk.

Presiden Persatuan Pengurus-Pengurus Teknologi dan Inovasi (ITMA), Dr Samsilah Roslan berkata negara mempunyai banyak produk penyelidikan untuk dikomersialkan, bagaimanapun kerjasama daripada pihak terlibat adalah kurang.

“Kita sudah ada semua komponen (pemain industri, penyelidik, pemberi dana) bagaimanapun masalahnya mereka tidak tahu untuk bekerjasama dalam mendapat manfaat daripada penghasilan pemindahan teknologi itu.

“Sebab itulah kita wujudkan satu badan pakar pemindahan teknologi, ITMA yang boleh berkongsi mengenai bagaimana mereka boleh lakukan bersama berkaitan pengkomersilan, pembiayaan dana, usaha niaga teknologi dan proses inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada majlis perasmian Seminar ‘The Malaysia Commercialisation Year (MCY) @ National Innovation And Creative Economy (NICE) – Three Tracks to Tech Transfer’ di sini hari ini.

Seminar itu diadakan sempena NICE Expo 2017 bagi meningkatkan pencapaian pengkomersilan dengan memberi penekanan kepada penglibatan lebih bersepadu daripada setiap pihak yang terlibat.

Samsilah berkata sehingga kini negara mempunyai kira-kira 150 tenaga pakar pemindahan teknologi dan kebanyakan mereka aktif di universiti tempatan.

Sementara itu Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah ketika ditemui selepas merasmikan seminar berharap forum tersebut dapat membantu pembangunan produk berkualiti melalui kewujudan jaringan kerjasama menyeluruh ke arah penerokaan pasaran yang lebih global. -BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *