Pengguna JRTB Dinasihat Berhati-Hati Berikutan Tanah Runtuh

Posted on

GERIK – Pengguna yang melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dinasihatkan supaya berhati-hati berikutan terdapat tanah runtuh di Kilometer 140 kira-kira pukul 4 petang ini.

Insiden runtuhan cerun itu adalah yang kedua selepas runtuhan pertama di kawasan sama pada 23 Sept lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Ismail Che Isa bagaimanapun berkata runtuhan kali kedua sepanjang 60 meter itu merupakan runtuhan kecil.

Beliau berkata papan tanda dan kon telah dipasang di kawasan berhampiran runtuhan tanah sebagai tanda amaran kepada orang ramai supaya berwaspada dan berhati-hati apabila melalui kawasan itu.

“Kerja pembersihan telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dan Belatik Wangsa Sdn. Bhd yang merupakan syarikat penyelenggara.

“Anggota polis ditempatkan di kawasan itu untuk mengawal lalu lintas dan pemantauan berterusan masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku lagi runtuhan memandangkan keadaan hujan ketika ini. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *