Penagih dadah rupanya…

Posted on

PASANGAN suami isteri dari Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani yang kisah mereka tular di media sosial kerana didakwa hidup merempat ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) hari ini.

Lelaki berusia 31 tahun dan isterinya berusia 21 tahun ditahan selepas ujian air kencing mereka didapati positif methamphetamine ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zin dan pegawai AADK melawat keluarga terbabit yang tinggal di pondok pengawal sebuah kolam udang terbiar.

Lawatan itu turut disertai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda, Pejabat Agama Islam Kuala Muda dan pemimpin masyarakat setempat.

Tajul berkata, pemeriksaan awal mendapati isteri lelaki itu dibebaskan dari Pusat Pemulihan Dadah di Bachok, Kelantan kira-kira sebulan lalu.

Katanya, pasangan itu yang mempunyai anak perempuan berusia dua tahun mendakwa mereka sudah berkahwin, tetapi gagal mengemukakan sijil nikah.

“Mereka dibawa ke Pejabat Agama Islam Kuala Muda untuk pengesahan status perkahwinan sebelum diserahkan kepada AADK untuk tindakan selanjutnya.

“Anak mereka pula diserah sementara kepada pihak JKM untuk memutuskan hak penjagaan,” katanya ditemui dalam lawatan itu.

Tajul berkata, pihaknya menghargai keprihatinan orang ramai namun menasihati mereka menyemak status dengan masyarakat setempat atau agensi berkaitan sebelum menyebarkan berita sedemikian di media sosial.

“Pemeriksaan kita mendapati lelaki itu menerima bantuan nelayan RM300 sebulan, namun kita bimbang jika sumbangan disalurkan orang ramai digunakan untuk tujuan salah, termasuk mungkin untuk membeli dadah,” katanya.

Kisah pasangan daif berkenaan yang dikatakan terabai, tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai komen negatif termasuk menuduh pemimpin setempat mengabaikan dan tidak prihatin nasib rakyat.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *