Pemain Bola Dibenar Berseluar Pendek – Jaheaik

Posted on

KOTA BHARU – Tiada tindakan dikenakan terhadap pemain bola sepak yang menggenakan seluar pendek paras atas lutut sekalipun pemakaian itu salah di sisi agama.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan (Jaheaik), Mohd Fadzuli Mohd Zain, berkata perkara itu diberi pengecualian ekoran pemain berada di gelangang bagi tujuan bersukan.

Menurutnya lagi, ada pendapat ulama mengatakan seseorang boleh berpakaian demikian semasa bersukan tetapi tidak boleh sesuka hati berseluar pendek di tempat awam.

“Kalau mereka bermain sukan dibolehkan kerana itu tempat permainan dan mereka ada hak.

“Tetapi kalau pakai seluar pendek di kawasan awam seperti pergi ke pasar raya, itu tidak sesuai bagi orang Islam,” katanya.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 30 tahun menularkan dalam media sosial tindakan Jaheaik mengeluarkan notis saman kepadanya kerana memakai seluar pendek.

Lelaki terbabit pada 25 September lalu mendakwa dia hanya berhenti di sebuah gerai menjual burger dengan memakai seluar pendek kerana baru selesai bermain futsal.

Mohd Fadzuli berkata individu terbabit yang menerima notis saman daripada Jaheaik hanya diminta menghadiri sesi kaunseling tetapi jika ingkar boleh dikenakan denda RM1,000.

Tambahnya, tindakan itu adalah amalan biasa Jaheaik di mana sebelum ini seramai 85 individu menghadiri sesi kaunseling yang diadakan dalam tempoh Januari hingga Mei lepas manakala 72 orang lagi akan mengikuti sesi kedua kaunseling bulan depan.

Difahamkan, undang-undang itu sudah termaktub sejak 1985, yang bertujuan mendidik umat Islam memakai pakaian sopan dan juga menanam kesedaran kepada remaja berhubung dengan pakaian menutup aurat. – MYNEWSHUB.CC

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *