Peluang buat yang teristimewa

Posted on

Shah Alam: Bukan saja diberi peluang pendidikan secara percuma, mereka juga menerima elaun bulanan. Itu antara keistimewaan yang diterima pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) yang mendapat pendidikan kemahiran di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) di sini.

Sehubungan itu, ibu bapa yang mempunyai anak OKU digalakkan menghantar anak mereka ke sekolah pendidikan khas sebagai jaminan masa depan lebih cerah kepada mereka.

Penolong Kanan Pentadbiran SMPKV Shah Alam, Khairul Anuar Suhib berkata, bukan itu saja, pelajar yang sudah tamat tingkatan lima turut berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dalam bidang kemahiran.

“Tahun lalu, 25 pelajar SMPKV Shah Alam berjaya melanjutkan pengajian di politeknik yang turut ditanggung kerajaan.

“Kita lihat peluang ke politeknik itu masih belum direbut dengan wajar oleh pelajar,” katanya.

Khairul Anuar berkata, tiada pendedahan serta malu menghantar anak ke sekolah khas antara punca tiada penambahan permohonan pelajar OKU ke sekolah berkenaan ketika ini.

Beliau berkata, SMPKV Shah Alam kini mempunyai 205 pelajar yang terdiri daripada kategori masalah pembelajaran serta pendengaran tingkatan empat dan lima.

Menurutnya, pelbagai kursus ditawarkan di sekolah ini antaranya pembuatan pakaian wanita, pendandan rambut, peralatan dan penyaman udara, pemasangan dan penyelenggaraan elektrik serta pembuatan batik.

“Ada juga kursus pembuatan perabot, operasi pengemasan, penyediaan dan pembuatan makanan serta servis dan menyelenggara motosikal,” katanya.

Menurutnya, pelajar juga menerima bimbingan daripada guru sepenuhnya memandangkan mereka terdiri daripada pelbagai kategori antaranya lambat pembelajaran, sindrom Down, hiperaktif, autisme serta cacat anggota.

Katanya, walaupun mereka adalah pelajar istimewa namun mereka memiliki kesungguhan serta mampu menghasilkan produk berkualiti. “Mereka juga ada kemahiran yang baik dan ia perlu digilap,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *