Pelajar Yang Terselamat Kebakaran Tahfiz Masih Tak Tahu Rakannya Maut

Posted on

MESKIPUN sudah 18 hari kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur, ibu kepada salah seorang mangsa yang terselamat masih cuba merahsiakan tragedi yang mengorbankan 21 pelajar dan 2 orang guru itu dari pengetahuan anaknya.

Nor Faizah Aripshah, 42 ibu kepada Muhammad Shahir Shaharuddin yang berusia 11 tahun, salah seorang daripada 6 pelajar yang cedera dalam tragedi tersebut dilaporkan berkata, sehingga ke hari ini anaknya menyangka, hanya dua orang guru yang maut dalam kebakaran itu manakala rakan-rakannya semua selamat.

“Shahir sering bertanya, di ICU (unit rawatan rapi) manakah rakan-rakan yang lain ditempatkan, dia nak jumpa kawan-kawannya, dia tak tahu mereka semua sudah meninggal dunia, dia tak tahu bahawa kebakaran itu satu tragedi besar kepada negara,

“Bila dia (Mohd Shahir) tanya tentang kejadian itu, kami tak berani nak jelaskan apa-apa, kami hanya kata, awak sembuh dulu, lepas tu baru kami beritahu,” katanya kepada wartawan seperti yang dipetik oleh NST.

Mohd Shahir kini dilaporkan beransur sembuh, dan masih lagi dirawat di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama seminggu akibat kebakaran pada tubuh badannya.

Menurut Nor Faizah, anaknya mengalami trauma setiap kali teringat tentang kejadian itu.

“Satu hari tu, dia nampak berita tentang kebakaran itu, dia menangis dan trauma, dia kata tak mahu lihat lagi berita tentang kejadian itu. Saya jaga dia setiap malam, adakala dia teringat-ingat, ketakutan, dan bercakap tentang Tahfiz sebab dia fikir dia di sekolah tahfiz bukan di hospital,” katanya.

Menurut Nor Faizah, dia bersyukur kerana anak lelakinya itu kini semakin stabil dan beransur-ansur pulih selepas dua minggu berada di ICU sejak 14 September lalu.

Dalam kejadian awal pagi 14 September 2017 itu, seramai 21 pelajar dan 2 orang guru maut dalam kebakaran di tingkat 3 bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

Berikutan kejadian tersebut, pihak polis telah menahan tujuh remaja lelaki berusia antara 11 dan 18 tahun bagi membantu siasatan berhubung jenayah khianat menggunakan api.

Pada hari Khamis lalu, 2 remaja berusia 16 tahun telah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh 21 orang pelajar tahfiz dan 2 orang guru di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

sumber

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *