Pelaburan Berterusan Finisar Membuktikan Keupayaan Malaysia

Posted on

CHEMOR – “Finisar, syarikat peneraju teknologi global dalam komunikasi optik telah memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi menempatkan aktiviti perkilangan syarikat tersebut di luar Amerika Syarikat semenjak tahun 2001. Ini juga merupakan projek perkilangan Finisar yang pertama di luar Amerika Syarikat. Meskipun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, Finisar terus mengembangkan operasinya di Malaysia,” kata Dato’ Azman Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh syarikat Finisar hari ini.

Amerika Syarikat merupakan salah satu pelabur utama di Malaysia. Pada tahun 2016, MIDA telah meluluskan lebih daripada RM1.6 bilion projek pelaburan tambahan bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan daripada Amerika Syarikat. Projek-projek ini akan menyumbang kepada lebih dua ribu lagi peluang pekerjaan kepada negara.

Menurut beliau, bermula dengan hanya menjalankan aktiviti pemasangan, syarikat Finisar terus mengembangkan operasinya di Malaysia dengan memperkukuhkan aktiviti ‘product design’ dan R&D yang telah dijalankan semenjak tahun 2004. Setakat ini, seramai 110 staf Finisar telah terlibat secara langsung di dalam aktiviti R&D syarikat. Jumlah tersebut akan meningkat kepada 180 orang dalam tempoh dua tahun akan datang, dan kepada 200 orang menjelang tahun 2020.

Finisar Malaysia akan turut bertanggungjawab untuk projek pembangunan ‘new generation transceiver module’ yang merangkumi ciri-ciri berteknologi 4G dan 5G. Teknologi yang masih baru di negara ini akan menjadi permulaan yang baik bagi Malaysia untuk bergerak seiring dengan negara-negara maju lain yang telah mula menggunakan teknologi berkenaan.

“Yang pastinya, tenaga kerja tempatan akan memperolehi faedah melalui pemindahan teknologi canggih dan pengetahuan teknikal syarikat. Kita juga menghargai sumbangan Finisar di dalam membangunkan lebih 20 vendor tempatan termasuk beberapa pengeluar peralatan bagi aktiviti ‘design and assembly of equipment, test equipment and processes’. Ini secara tidak langsung telah mengukuhkan lagi rantaian bekalan dan ekosistem industri di negara ini,”ujar Dato’ Azman.

Dato’ Azman turut mengalu-alukan usaha berterusan Finisar untuk mengautomasikan aktiviti perkilangannya bagi meningkatkan produktivitinya selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah industri 4.0. Finisar juga aktif berkerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan tinggi tempatan seperti Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Malaya bagi program pembangunan modal insan berkemahiran dalam bidang teknologi fotonik, komunikasi fiber optik dan optoelektronik.

“Pihak MIDA sendiri telah turun padang bagi membantu Finisar untuk memenuhi keperluan bekalan talent berkemahiran teknikal yang diperlukan oleh syarikat. Usaha ini seterusnya membuahkan beberapa inisiatif untuk program teknikal yang kini sedang dijalankan. Salah satu hasil daripada inisiatif ini adalah penganugerahan sijil Kejuruteraan Pengilangan Tahap 1 yang akan disampaikan kepada kakitangan Finisar pada hari ini,” tambah Dato’ Azman.

Pada majlis yang dihadiri oleh Dato CM Vignaesvaran, Ketua Pegawai Eksekutif, HRDF dan Puan Ms Yap Suan See, Timbalan Presiden/Pengarah Urusan, Finisar Malaysia tersebut, seramai 59 pekerja Finisar telah menerima sijil kejuruteraan perkilangan tahap 1 setelah menamatkan program latihan selama 3 bulan. Majlis tersebut turut memberi penghargaan kepada anak-anak kakitangan Finisar yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik. Seramai lebih 500 anak-anak pekerja Finisar telah menerima penghargaan melalui Program Academic Excellence yang dilancarkan sejak tahun 2002 ini.

SUMBER : Malaysian Investment Development Authority (MIDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama : En. Muhammad Sawaddee Islamuddin
Pengarah, MIDA Perak
Tel : 05-5269962
Emel : [email protected]

-BERNAMA

Loading…

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *