P.Pinang Tandangan Ikrar Bebas Rasuah & 10 Langkah Integriti

Posted on

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan tambahan 10 langkah integriti sebagai tanda komitmen kerajaan negeri dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Majlis bacaan ikrar dan menandatangani IBR serta 10 langkah integriti itu  berlangsung di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini diketuai Ketua Menteri Lim Guan Eng dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad.

Dzulkifli pada sidang media selepas majlis itu berkata hanya kerajaan negeri Kelantan dan Selangor yang masih belum menandatangani IBR.

“Minggu depan saya akan berada di Kelantan untuk majlis menandatangani IBR. Selangor saya tengah tunggu tarikh. Saya belum dapat tarikh daripada kerajaan negeri Selangor. Bagaimanapun, mereka telah menyatakan kesediaan untuk menandatangani IBR.

“Alhamdulillah kalau selesai dengan kerajaan negeri Selangor maka seluruh negeri-negeri di Malaysia telah menandatangani IBR. Selepas ini adalah merupakan tugas dan tanggungjawab SPRM pula untuk memastikan lafaz ikrar itu dilaksanakan oleh seluruh agensi kerajaan sama ada persekutuan mahupun agensi kerajaan negeri,” katanya.

IBR memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar itu akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas  mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan  berkenaan.

Langkah integriti yang disertakan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam ikrar itu termasuk amalan pentadbiran yang berlandaskan prinsip CAT (cekap, akauntabiliti, telus), menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh ketua menteri, barisan Exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri, melaksanakan tender terbuka yang kompetitif, tidak membenarkan anggota keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak kerajaan atau berurus niaga dengan kerajaan negeri, melarang ADUN dan anggota pentadbiran daripada diluluskan permohonan tanah kerajaan negeri dan tidak menerima sumbangan peribadi.

“Minimumnya kita dah buat ikrar dan jika ada yang ditambah Alhamdulillah kerana ia akan memperkukuhkan lagi ikrar itu sendiri. Apapun ikrar itu perlulah disertai dengan pelaksanaannya. Kerajaan negeri harus memastikan bahawa bukan setakat ikrar di peringkat awal dilaksanakan,” kata Dzulkifli.

Mengulas ketidakhadiran ADUN Barisan Nasional pada majlis itu, beliau berkata langkah menandatangani IBR sebenarnya kepada kepimpinan kerajaan negeri termasuk Exco serta pentadbiran kerajaan negeri. – BERNAMA

[embedded content]

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *