Oh cikgu kasanova…

Posted on

SEORANG guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas tiga pertuduhan membuat, memiliki gambar dan video lucah serta memikat isteri orang untuk tujuan seks pada Mac lalu.

Tertuduh, Safriduwan Safar, 43, dari Bandar Jengka, Maran bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membuat dan memiliki 63 keping gambar dan video lucah yang disimpan di dalam telefon bimbit jenis Samsung dan Lenovo miliknya di rumah beralamat Lorong Pandan Makmur 2, Kuantan pada 1 Mac lalu jam 1.33 petang.

Dia melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a)(i) Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula tertuduh yang bertugas di sebuah sekolah rendah di FELDA Jengka memiliki gambar dan video lucah itu di dalam telefon bimbitnya pada 17 Mac lalu jam 6.21 petang.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa memikat seorang penjawat awam berusia 41 tahun yang diketahui adalah isteri orang bagi tujuan melakukan persetubuhan yang ditegah.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan tarikh 1 Ogos depan untuk pra bicara dan lantikan peguam.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *