Naluri tak sedap hati penyelamat [METROTV]

Posted on

Tindakan pantas budak lelaki berusia 12 tahun mengayuh basikal ke rumah jiran menyelamatkan dia daripada kemungkinan diculik beberapa lelaki yang menaiki van putih di Taman Ayer Panas, Setapak, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 11.41 pagi itu, Alang, 12 (bukan nama sebenar) baru pulang dari sekolah agama selepas menduduki Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) dan video kejadian berkenaan tular di laman sosial hari ini.

Menurutnya, dia berasa tidak sedap hati dengan kehadiran van putih yang diparkir berhampiran rumahnya.

“Apabila ingin membuka pintu pagar rumah, saya rasa seperti ada sesuatu menghampiri menyebabkan saya mengayuh basikal ke tempat yang ada orang.

“Saya perasan van itu mengekori saya hingga ke simpang menyebabkan saya menyorok di rumah jiran yang sedang berpindah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurut Alang, ibunya sering berpesan supaya mengambil langkah keselamatan jika ada sesiapa yang mengekorinya.

“Ibu selalu telefon dan pantau bila saya dan adik-beradik lain balik sekolah untuk pastikan kami selamat.

“Ibu juga sering nasihat dan ingatkan kami untuk larikan diri ke tempat selamat dan ada orang jika ada sesiapa yang tidak kenal ikut,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Nur, 42 (bukan nama sebenar) berkata, sebaik melihat anaknya tidak masuk ke rumah dan van putih itu mengundur mengikuti anaknya, dia terus keluar rumah.

“SAYA hanya memikirkan keselamatan anak saya. Sebaik melihat melalui CCTV (kamera litar tertutup) anak saya tidak jadi masuk ke rumah dan van putih itu mengundur, saya terus berlari keluar,” katanya

“Dalam kejadian 11.41 pagi itu, saya menunggu Alang pulang ke rumah sambil memerhatikan CCTV. Saya menyedari kemuculan van putih itu namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Bagaimanapun, setiba Alang di pintu pagar rumah, tiba-tiba ada lelaki membuka pintu van belakang dan mengundurkan kenderaan menghampiri Alang,” katanya.

Menurutnya, cemas melihat keadaan itu, dia terus keluar rumah untuk mendapatkan anaknya.

“Saya keluar dan lihat Alang sudah tiada manakala van putih itu berada di simpang berhampiran rumah saya.

“Takut jadi apa-apa kepada Alang saya ambil bayi di dalam rumah dan menghidupkan enjin kereta sebelum melihat Alang patah balik ke rumah kira-kira lima minit kemudian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan siasat sedang dijalankan.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *