Naluri ibu…

Posted on

PERJALANAN sejauh 200 kilometer dari Kuala Lumpur ke Ulu Dedap, Perak, berbaloi bagi keluarga Nur Hafizah Mohd Rodzi, 25, apabila kucing peliharaan mereka yang hilang di kawasan semak sekitar Ulu Dedap ditemui semula.

Menurut Nur Hafizah, kucingnya yang diberi nama Tam ditemui selamat, 28 jam selepas hilang dalam kemalangan membabitkan abangnya, Mohd Raffiq Mohd Rodzi, 26, pada 28 Jun lalu.

“Sudah menjadi kebiasaaan kami membawa kucing pulang ke kampung di Sitiawan, Perak. Sebelum kejadian, kami mahu pulang semula ke Kuala Lumpur setelah menyambut Aidilfitri di kampung menaiki dua kereta berasingan.

“Abang memandu sendirian membawa dua kucing kami, Tam dan Jantan. Saya dan ibu bapa menaiki kereta lain. Tiba-tiba ketika berada di sekitar Ulu Dedap, kereta abang terbabit kemalangan kecil.

“Mungkin ada orang yang cuba membantu abang saya, membuka pintu kereta. Ketika itulah Tam melompat keluar dan hilang manakala Jantan masih di dalam kereta,” katanya.

Nur Hafizah berkata, dia dan ibu bapanya berhenti di tempat abangnya kemalangan dan cuba mencari Tam namun gagal.

“Kami segera pulang ke Kuala Lumpur untuk menguruskan kereta abang walaupun kami tak jumpa Tam. Tapi naluri ibu saya kuat mengatakan Tam masih ada di kawasan dia hilang. Malah ibu ada bermimpi Tam ditemui semula.

“Keesokan harinya, ibu yang ajak pergi semula ke tempat itu kerana dia yakin Tam masih berada di situ. Kira-kira 15 minit kami mencari Tam dengan menggoncangkan bekas makanannya, Tam akhirnya ditemui. Mungkin dia kenal suara tuannya,” kata Nur Hafizah.

Gambar yang memperlihatkan ibu Nur Hafizah, Nor Lailah Zakaria, 47, menangis sebaik saja bertemu kucing peliharaan mereka itu tular di laman sosial sejak minggu lalu.

Kata Nur Hafizah, mereka sekeluarga sebak dan terharu kerana tidak menyangka diizinkan Allah SWT untuk bertemu semula dengan Tam yang dipelihara sejak dua tahun lalu.

“Mungkin dah rezeki kami berjumpa semula dengan Tam. Jika Tam tidak ditemui, sedih kami memikirkan nasibnya kerana dia hilang di kawasan semak dan hutan,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *