Murid tahun satu mati dipukul kerana ejek nama bapa pelajar senior

Posted on

KAPIT, SARAWAK – Seorang murid Tahun Satu dilaporkan meninggal dunia selepas dipukul oleh pelajar senior di asrama sekolah rendah itu, petang semalam, lapor Berita Harian.

Mangsa berusia tujuh tahun meninggal dunia di Hospital Sibu pada jam 3.30 petang semalam akibat luka dan lebam-lebam di kepala dan badan. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal berkata, bapa mangsa hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya setelah dimaklumkan oleh guru sekolah di pedalaman Kapit, Selasa. 

Petani berusia 35 tahun berkenaan dimaklumkan bahawa anaknya tidak sedarkan diri dan telah dimasukkan ke hospital.

“Pemeriksaan mendapati, ada beberapa kesan lebam di bahagian kepala dan badan mangsa. 

“Mangsa disahkan meninggal dunia hari ini (semalam), dua hari selepas dimasukkan ke hospital,” katanya. 

Susulan kejadian yang tidak disangkakan itu, bapa mangsa membuat laporan polis. Bertindak di atas laporan polis yang dibuat, polis telah menahan seorang pelajar berusia 12 tahun dari sekolah itu, kira-kira jam 11 pagi semalam. 

Siasatan awal mendapati, suspek telah menumbuk dan menendang mangsa beberapa kali. 

“Pemeriksaan awal juga menunjukkan suspek bertindak agresif selepas mangsa dikatakan telah mengejek nama bapanya. 

“Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. 

Bagaimanapun, suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas kenyataannya direkodkan kerana dia masih di bawah umur. 

Polis juga akan memanggil guru besar dan guru sekolah berkenaan untuk membantu siasatan kes itu. Selain itu, sebuah pasukan petugas yang diketuai Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian telah ditubuhkan untuk menyiasat kes ini. 

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *