Mulianya hati mereka… [METROTV]

Posted on

“SEBAK hati saya melihat kedudukan kanak-kanak berusia sekitar 4 tahun itu yang hampir jatuh ketika membonceng dengan ibunya. Sesiapa yang memiliki anak, pasti sedih dan risau melihat keluarga itu,” kata seorang daripada penunggang motosikal, Muhamad Faizal Yusof, 34, yang membantu wanita membonceng anaknya dalam keadaan bahaya apabila kedudukan kanak-kanak itu senget dan hampir terjatuh dari motosikal.

Muhamad Faizal berkata, ketika kejadian pada pagi 17 Julai lalu, dia dan rakannya Ahmad Mahzar Hassan, 49, menuju ke Lenggong, Perak dari Sungai Petani, Kedah.

“Kami terlihat wanita itu membonceng anaknya dalam keadaan bahaya. Ketika itu kami berada di persimpangan Seberang Jaya arah selatan.

“Mungkin kanak-kanak itu mengantuk dan tertidur di atas motosikal. Risau melihat keadaan mereka, saya dan Ahmad Mahzar yang menunggang motosikal berasingan setuju untuk mengiringi keluarga itu dengan motosikal masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, kedudukan kanak-kanak itu masih dalam bahaya sebelum Muhamad Faizal dan Ahmad Mahzar sepakat membonceng kanak-kanak terbabit menuju ke destinasi keluarga itu demi keselamatannya.

“Walaupun kami cuba mengiringi keluarga itu, tetapi keadaan kanak-kanak itu masih dalam bahaya. Tubuh wanita itu agak berisi dan anaknya hanya berpaut pada baju. Dia juga membonceng dua orang anak, dimana seorang lagi berusia sekitar dua tahun duduk di dalam raga.

“Setelah berusaha membetulkan kedudukan kanak-kanak itu namun tidak berjaya, kami meminta izin wanita berkenaan untuk membonceng anaknya.

“Pada mulanya dia enggan. Tetapi demi keselamatan anaknya, wanita itu akur. Ahmad Mahzar yang membonceng kanak-kanak itu kerana motosikalnya ada raga,” kata Muhamad Faizal menambah wanita itu menuju ke rumah orang tuanya di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Kisah Muhamad Faizal dan Ahmad Mahzar membantu keluarga ini tular sejak 17 Julai lalu apabila seorang lagi penunggang motosikal, Abdul Hakim Alias, 33, memuatnaik gambar mereka di Facebook sehingga dikongsi hampir 1,000 kali.

Abdul Hakim yang mahu ke Pulau Pinang ketika itu, turut sama-sama membantu membetulkan kedudukan kanak-kanak itu sebelum berpisah dengan yang lain di persimpangan Seberang Jaya.

Gambar terbabit menerima pelbagai reaksi netizen dan ada diantaranya mengecam tindakan wanita itu kerana tidak memikirkan keselamatan anak-anaknya.

“Saya sarankan kepada pengguna Internet untuk tidak kecam wanita itu kerana mungkin dia tiada pilihan lain dan diselubungi masalah.

“Ketika kami cuba membantu mereka, wanita itu dilihat sedang menangis dan katanya ada masalah dengan suaminya,” kata Muhamad Faizal.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *