Mulianya hati kamu

Posted on

DIA bisu dan cacat fizikal namun kekurangan itu tidak menghalang seorang penghuni Pusat Taman Sinar Harapan Tampoi (PTSHT) di Tampoi berkongsi hasil titik peluhnya sebagai penjual surat khabar dengan memberi sumbangan duit raya kepada kira-kira 100 tetamu program Sambutan Hari Raya Aidilfitri di pusat jagaan itu hari ini.

Sifat pemurah Hakim Ooi Abdullah, 59, diakui oleh pengetua pusat jagaan itu, Ab Gani Ab Bakar.

Ab Ghani berkata, Hakim ditempatkan di PTSHT itu sejak pusat berkenaan mula beroperasi pada 1975.

“Dia dipercayai mangsa pengabaian keluarga dan kami difahamkan dia diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas ditemui di sekitar bandar raya ini ketika berusia belasan tahun dan tiada dokumen pengenalan diri.

“Sudah hampir 42 tahun dia tinggal di sini dan lebih 20 tahun menjual surat khabar serta pendapatan hariannya kira-kira RM4 hingga RM5.

“Setiap hari sekitar 8 pagi, dia akan menumpang kenderaan kakitangan untuk ke stesen minyak berhampiran bagi mengambil surat khabar untuk di jual di Angsana Mall,” katanya.

Ab Gani berkata, Hakim akan kembali ke pusat jagaan kira-kira 6 petang menaiki teksi.

Beliau berkata, walaupun upah yang diterima tidak seberapa, tetapi dia pandai menyimpan wang dan suka bersedekah.

“Jika kita menganjurkan program, dia mahu membeli sesuatu termasuk buah-buahan dan sedekah kepada semua orang dan hari ini, dia mahu beri duit raya RM2 pada setiap tetamu terdiri daripada penghuni dan tetamu.

“Malah, dia juga tidak kedekut berkongsi rezekinya kerana dia pernah membeli baju untuk penghuni lain kerana menganggap dirinya sebagai datuk atau abang selain membelikan sejadah serta jam dinding bagi kegunaan surau.

“Kalau kita tidak ambil pemberiannya, dia akan berkecil hati,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *