Moscow beri amaran sekat media AS di Rusia

Posted on

MOSCOW: Rusia akan menggunakan kuasanya menyekat operasi organisasi media Amerika Syarikat (AS) di negara itu sebagai tindak balas tekanan AS ke atas stesen TV yang dimiliki Kremlin, kata jurucakap Kementerian Luar Rusia pada Ahad.

Pegawai rasmi Rusia telah menuduh Washington memberi tekanan yang tidak wajar terhadap operasi RT di AS.

RT yang dahulunya dikenali sebagai Russia Today ialah rangkaian televisyen antarabangsa Rusia yang disokong oleh kerajaan Rusia.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Maria Zakharova berkata, pihak berkuasa AS telah memberi halangan kepada operasi RT di AS, maka Moscow mempunyai hak untuk bertindak balas.

“Kami tidak pernah menggunakan undang-undang Rusia ke atas koresponden asing sebagai tekanan politik. Tetapi dalam kes ini, kita perlu,” kata Zakharova dalam satu wawancara kepada penyiar NTV Rusia.

Beliau memetik undang-undang Rusia 1991, yang mengatakan bahawa jika syarikat media Rusia berdepan sekatan di negara asing, maka Moscow mempunyai hak mengenakan sekatan yang sama terhadap syarikat dari negara berkenaan di Rusia.

“Sejajar itu, apa sahaja aktiviti wartawan Rusia dan stesen RT di AS yang disekat, maka kita mengenakan langkah yang sama di sini ke atas media AS selagi mereka dalam wilayah Rusia,” kata Zakharova.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *