Menangis kesakitan

Posted on

MURID lelaki tahun dua sekolah kebangsaan di Port Dickson cedera di pipi kanan, selepas dipercayai ditekap dengan pengasah pensil yang dipanaskan oleh seorang gurunya, minggu lalu.

Bapa kanak-kanak terbabit, Said Gudu, 32, berkata, kejadian berlaku kira-kira 11 pagi pada 11 Julai lalu, ketika guru matematik terbabit sedang mengajar di dalam kelas anak lelakinya itu.

“Anak saya yang berusia lapan tahun memberitahu guru terbabit memarahinya kerana bermain di dalam kelas. Guru itu mengambil pengasah pensil dan digosok di lantai sehingga panas lalu ditekapkan ke pipi anak saya.

“Perbuatannya itu membuatkan anak saya menangis kesakitan. Anak saya menceritakan kejadian kepada isteri saya dan saya hanya mengetahuinya pada 11 malam selepas pulang bekerja,” katanya ketika ditemui di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Port Dickson, hari ini.

Katanya, keesokannya dia membawa anak lelakinya itu mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson sebelum membuat laporan di Balai Polis Port Dickson.

Said berkata, dia kecewa dengan guru terbabit yang tidak datang berjumpanya memohon maaf selain tindakan pihak sekolah yang memintanya menarik semula laporan polis berkenaan.

“Sudah seminggu kejadian ini berlaku, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS). Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap guru itu dan sekolah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JPNS Pkharuddin Ghazali berkata, pihaknya sudah menghantar pegawai menyiasat kes itu dan penelitian secara mendalam akan dibuat selepas laporan lengkap diterima.

Beliau berkata, tindakan sewajarnya akan diambil pihaknya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *