Mayat bayi dibuang atas jambatan di Pelabuhan Utara

Posted on

PELABUHAN KLANG: Mayat bayi lelaki ditemukan di dalam bungkusan plastik berwarna hitam di atas jambatan berhampiran Jalan Parang, Pelabuhan Utara di sini, semalam.

Mayat bayi itu dijumpai seorang pekerja juruukur jalan ketika sedang membuat kerja penyelenggaraan di kawasan itu kira-kira pukul 9.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata bayi itu dipercayai baru dilahirkan berikutan dijumpai bersama uri.

“Mayat bayi dalam keadaan sempurna itu dipercayai berusia lingkungan enam bulan (ketika dalam kandungan) dan masih bersama uri…siasatan awal mendapati terdapat kesan cedera dan luka pada sebelah kanan perut bayi.

“Tiada kamera litar tertutup di lokasi kejadian dan mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dibedah siasat,” katanya.

Mohd Yusoff berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi menjejaki individu yang bertanggungjawab dalam kejadian itu dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *