Mayat bayi dalam perigi

Posted on

MAYAT bayi lelaki berusia enam hari ditemui dalam perigi sedalam lebih enam meter di Kampung Ong Lok, Batang Melaka, Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan ArshadAbu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat bayi itu daripada orang awam pada 6.30 petang tadi.

“Setakat ini kami sudah tahan enam individu, tiga lelaki dan tiga wanita dalam kalangan ahli keluarga mangsa termasuk ibu bapanya berusia 20 dan 30-an bagi bantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes ini berkaitan dengan laporan kehilangan anak kami terima semalam,” katanya.

Arshad berkata, ketika ditemui mayat bayi berkenaan dalam keadaan sempurna dan tidak ada kesan kecederaan.

Sepasukan anggota bomba dipanggil bagi mengeluarkan mayat bayi berkenaan dari dalam perigi.

Mayat bayi berkenaan berjaya dikeluarkan pada 10.30 malam tadi dan dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Difahamkan kelahiran bayi berkenaan belum didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN ) dan belum mempunyai nama.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *