Maut Kenderaan Dihempap Dahan Pokok

Posted on

KUALA NERUS – Perjalanan menuju ke kem motivasi sebagai persediaan menjelang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertukar menjadi tragedi apabila pemandu dan seorang pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit, di sini maut akibat dihempap dahan sebatang pokok.

Lebih memilukan apabila kem yang berlangsung sejak Khamis lalu di sebuah hotel itu akan berakhir hari ini iaitu kira-kira dua jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata pemandu van itu Mohd Amin Ibrahim, 36 dan seorang pelajar Mohamad Zulfahmi Abdul Halim, 17, meninggal di tempat kejadian semasa dalam perjalanan menuju ke arah Kuala Terengganu.

Dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 1.10 tengah hari, secara tiba-tiba dahan pokok daripada sebatang pokok besar yang berada di tepi jalan Mengabang Lekor, di sini telah patah dan menghempap dua kenderaan .

“Dalam kejadian ini, sebuah lagi kereta yang dinaiki dua wanita turut terlibat. Dua daripada tiga orang yang menaiki van (kenderaan sekolah terbabit) telah meninggal dunia.

Mangsa lain (termasuk menaiki kereta) selamat tetapi mengalami kecederaan dan kini dirawat di hospital.

“Kesemua mereka yang dirawat kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Sementara itu, rakan setugas Mohd Amin yang tidak mahu dikenali berkata mangsa adalah seorang yang komited dengan kerja dan peramah.

Katanya mangsa tidak pernah membantah apabila diminta menghantar pelajar menggunakan van tersebut dan beliau tidak menyangka bahawa pertemuan mereka beberapa jam sebelum itu adalah kali terakhir.

Tambahnya, jarak antara lokasi kejadian dengan sekolah terbabit hanyalah kira-kira dua kilometer dan ketika menerima panggilan bahawa terdapat kenderaan sekolah yang kemalangan, ramai antara petugas bergegas namun tidak menyangka Mohd Amin dan seorang pelajar telah meninggal dunia. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *